KOTA BHARU, 30 Jun - Pada 24 Jun 2025, satu program ilmiah bertajuk Pekan Ilmu: Dunia Ekonomi dan Perniagaan telah berjaya dianjurkan oleh Persatuan Econbiz UiTM Cawangan Kelantan Kampus Kota Bharu dengan kerjasama Persatuan Ibac, Finceptive dan D’Makers. Program ini telah dijalankan di Sekolah Menengah Kebangsaan Zainab 1 bertujuan memberi pendedahan awal kepada para pelajar mengenai dunia ekonomi dan perniagaan yang semakin berkembang pesat. Program telah dirasmikan oleh Puan Anawiyah Abu Samah, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Zainab 1. Program ini melibatkan seramai 100 orang pelajar dan 34 orang ahli jawatankuasa yang diiringi oleh penasihat persatuan Econbiz iaitu Dr. Nor Zuriati Amani Ab Rani dan Dr. Azmahani Yaacob@Othman.
Program bermula dengan ucapan aluan dan sesi perkongsian akademik bersama Dr. Azmahani dan diikuti dengan perkongsian ilmu oleh presiden setiap persatuan. Sesi ini bertujuan memberi gambaran kepada pelajar mengenai pentingnya ilmu dalam bidang ekonomi dan perniagaan. Kemuncak program ialah aktiviti permainan dan jelajah booth. Terdapat lapan booth interaktif disediakan iaitu Econbiz, Eco Bounce, D’Makers, Reka dan Jual, Finceptive, Budget Challenge, Ibac dan Bank Konvensional vs Bank Islam. Setiap booth persatuan mewakili booth berasaskan teori dan booth yang berbentuk permainan. Pelbagai aktiviti dijalankan secara praktikal dan sekali gus membuka minda pelajar sekolah terhadap teori, aplikasi, dan peluang kerjaya dalam bidang ekonomi, kewangan, pemasaran dan perbankan Islam.
Penyedia Laporan:
Dr. Nor Zuriati Amani Ab Rani
Penasihat
Persatuan Econbiz
Dr. Azmahani Yaacob@Othman
Penasihat
Persatuan Econbiz