KUALA KRAI, 18 Jun - Program Jalinan NR: Bersama Kita Maju telah diadakan selama tiga hari dua malam bermula 12 hingga 14 Jun 2025 bertempat di Pasir Raja Campsite, Kuala Krai, Kelantan. Program ini telah disertai oleh 36 orang mahasiswa Non Resident (NR) bersama barisan Jawatankuasa Perwakilan Non Resident (JPNR). Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk mengukuhkan hubungan antara pelajar NR dan JPNR melalui aktiviti yang menyeronokkan, mencabar serta bermakna.
Selain itu, program ini diadakan adalah untuk mengukuhkan lagi hubungan antara ahli Jawatankuasa Perwakilan Non Resident (JPNR), dan bersama dengan pelajar Non Resident melalui pelbagai aktiviti luar yang membina kerjasama serta semangat setiakawan. Selain itu, program ini bertujuan untuk mewujudkan suasana yang mesra, harmoni dan inklusif dalam kalangan komuniti pelajar Non Resident. Akhir sekali, untuk melatih dan membentuk ahli JPNR dalam aspek kepimpinan, pengurusan tekanan dan keupayaan membuat keputusan dalam situasi mencabar serta bekerjasama dalam satu unit pasukan.
Seterusnya, aktiviti yang dijalankan sepanjang program adalah aktiviti perkhemahan, trek kembara hutan, sesi perkongsian, ceramah motivasi, aktiviti pengukuhan pasukan, aktiviti sukan pantai, malam kebudayaan, luahan unggun api dan forum Santai bertajuk Cabaran Hidup Pelajar NR.
Secara keseluruhannya, program ini telah mencapai objektif yang ditetapkan. Hubungan antara pelajar NR dan barisan JPNR dilihat semakin erat, semangat kerjasama meningkat, dan suasana komuniti NR menjadi lebih harmoni. Selain itu, kemahiran insaniah serta daya kepimpinan dalam kalangan ahli JPNR turut dapat diperkasakan melalui pengalaman dan situasi sebenar sepanjang program berlangsung. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan sebagai inisiatif berterusan ke arah pembinaan komuniti kampus yang aktif, bersatu dan berdaya saing.
Penyedia Laporan:
Saudari Nur Farra Natasya Mohd Faizul
Pengarah Program
Jalinan NR: Bersama Kita Maju