KOTA BHARU, 18 Jun - Pada 12 Jun 2025, bertempat di Dewan Puteri Sa’adong, Hotel Grand Riverview, Kota Bharu, telah berlangsung satu majlis penuh gemilang iaitu Malam Apresiasi Graduan: A Night with Thousand Memories. Program ini dianjurkan oleh Society of Information System Management (SISMA), Fakulti Sains Maklumat, sebagai simbolik penghargaan kepada para pelajar tahun akhir program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Maklumat (CDIM245 dan CDIM262) yang akan menamatkan pengajian di UiTM Cawangan Kelantan.
Majlis ini telah dirasmikan oleh Profesor Dr. Mohd Afandi Mat Rani, Rektor UiTM Cawangan Kelantan, yang turut menyampaikan ucapan penuh inspirasi kepada para pelajar, pensyarah dan semua tetamu yang hadir. Kehadiran Profesor Dr. Mohd Afandi telah menyerikan lagi suasana dan mencerminkan sokongan padu pihak pengurusan universiti terhadap penganjuran program seumpama ini. Majlis ini bertujuan untuk meraikan pencapaian cemerlang para pelajar, selain menjadi platform untuk menghargai sumbangan mereka sepanjang tempoh pengajian. Suasana majlis berlangsung dalam suasana yang cukup meriah dan penuh emosi, menyaksikan kehadiran para pelajar, pensyarah, serta barisan kepimpinan akademik Fakulti Sains Maklumat.
Antara pengisian menarik sepanjang program termasuklah tayangan montaj perjalanan akademik pelajar, sesi cabutan bertuah, serta penyampaian token penghargaan kepada wakil-wakil kelas sebagai tanda terima kasih atas peranan mereka dalam menggerakkan aktiviti akademik dan kebajikan pelajar. Kemuncak majlis adalah penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik bagi kedua-dua program CDIM245 dan CDIM262, yang telah ditaja sepenuhnya oleh DIGIT360, sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik dan kepimpinan yang ditonjolkan.
Program ini turut menjadi platform memperkukuh ukhuwah antara rakan seperjuangan dan pensyarah, di samping mengimbau kenangan suka duka sepanjang meniti kehidupan sebagai mahasiswa. Ia juga mencerminkan komitmen SISMA dalam menghargai dan meraikan setiap detik kejayaan para ahlinya. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua bakal graduan atas pencapaian yang membanggakan. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus melakar kejayaan lebih gemilang di masa hadapan.
Penyedia Laporan:
Cik Nur Ainatul Mardiah Mat Nawi
Penasihat Program
Malam Apresiasi Graduan: A Night with Thousand Memories