KETEREH, 17 Jun - Program ini dianjurkan oleh pelajar International Centre for Education in Professional Studies (iCEPS) UiTM Kampus Kota Bharu dengan kerjasama Balai Bomba Ketereh, pelajar Tabika dan Pendidik serta Masyarakat Tabika KEMAS Ketereh. Program bermula pada 15 Jun 2025 (Ahad), pada jam 8:30 pagi dengan ketibaan para tetamu jemputan Dr. Hatinah Abu Bakar (Penasihat Program), Dr. Tismazammi Mustafa (Koordinator iCEPS UiTM Kampus Kota Bharu) dan Puan Siti Normah Ab Rahim@Nawi Pegawai KEMAS Daerah Kota Bharu). Sesi pendaftaran peserta dianggarkan seramai 40 orang termasuk tetamu jemputan.
Program diteruskan dengan sesi bacaan doa diikuti sesi ceramah, demonstrasi dan simulasi kebakaran kepada pelajar serta Pendidik Masyarakat Tabika KEMAS yang telah disampaikan oleh Pegawai Bomba. Untuk memeriahkan lagi program, pelbagai aktiviti santai turut diselitkan seperti aktiviti mewarna, sesi soal jawab, menaiki trak bomba dan mandi paip bomba. Sekitar jam 2:00 petang, program berakhir dengan jamuan makan.
Objektif utama program ini adalah untuk membantu peserta dalam meningkatkan pengetahuan prestasi akademik dan kemahiran pembelajaran mereka. Program ini juga memberi peluang kepada pasukan penganjur untuk mengaplikasikan kemahiran pengurusan acara mereka dalam situasi sebenar seperti merancang, menganjurkan, dan melaksanakan sesuatu program yang boleh memberi satu impak positif.
Program ini memberi kesedaran kepada kanak-kanak seusia 5-6 tahun dan Pendidik Masyarakat Tabika mengenai perlindungan diri dan cara-cara memadamkan api bagi menjamin keselamatan diri mereka. Beberapa aktiviti telah diaturkan oleh pihak penganjur dan ahli bomba agar dapat memberi kesan dan pelajaran kepada kanak-kanak seusia itu dan Pendidik Masyarakat Tabika tentang kesedaran bahayanya api dan cara mengatasinya di sekolah atau di rumah mereka.
Selain itu juga, program ini bertujuan untuk memupuk kesedaran dan tanggungjawab diri dalam menjaga keselamatan diri dan orang lain terhadap risiko kebakaran. Ia juga dapat mengajar kanak-kanak mengenai langkah-langkah keselamatan seperti tidak bemain dengan mancis atau pemetik api kerana bahan tersebut adalah sumber api kecil yang boleh mencetuskan kebakaran di tempat mereka.
Penganjuran program seperti ini mampu melahirkan graduan yang cemerlang serta dapat memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan mahasiswa UiTM Kampus Kota Bharu dan memperbanyakkan kolobrasi dengan agensi kerajaan sekaligus dapat memberi pendedahan awal tentang bahaya kebakaran di dalam premis kepada kanak-kanak khususnya.
Penyedia Laporan:
Puan Nur Atikah Muhammad
Kerani
iCEPS UiTM Kampus Kota Bharu