'International Charity Programme: One Heart One Hope' with Kelab Prime Mover, UiTM Cawangan Kelantan dan Kelab MUADS, Universiti Utara Malaysia

HATYAI, 12 Jun – Seramai lebih 40 orang mahasiswa daripada UiTM Cawangan Kelantan dan Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai program kebajikan antarabangsa bertemakan “One Heart One Hope” yang berlangsung dari 29 Mei hingga 1 Jun 2025 di Hatyai, Thailand. Program ini merupakan kolaborasi erat antara Kelab Prime Mover UiTMCK dan Kelab MUADS UUM, bertujuan menyemai nilai empati, kasih sayang dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa.

Salah satu pengisian utama adalah lawatan ke Islamic Enlightenment Foundation, sebuah rumah anak yatim di Hatyai. Para peserta berpeluang menyantuni anak-anak yatim serta menyerahkan dan menyampaikan bantuan makanan seperti keperluan asas kepada pihak rumah anak yatim sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan mereka. Di samping itu, pelbagai aktiviti permainan interaktif dan santai telah dianjurkan bersama anak-anak yatim, yang nyata menceriakan suasana dan menghadirkan senyuman kegembiraan buat mereka. Interaksi penuh mesra antara mahasiswa dan penghuni rumah anak yatim menyemai nilai kasih sayang sejagat serta memperkukuh jati diri sebagai warga global yang prihatin.

“Melihat senyuman anak-anak ini benar-benar menyentuh hati kami. Kami bukan sahaja memberi, tetapi juga belajar banyak tentang erti kesyukuran dan kasih sayang,” kata salah seorang peserta.

Selain itu, program turut melibatkan aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Pantai Samila, Songkhla. Aktiviti ini merangkumi gotong-royong membersihkan kawasan pantai sebagai simbolik kepedulian terhadap pemeliharaan alam sekitar. Pendekatan ini bukan sahaja menyemai kesedaran ekologi dalam kalangan peserta, malah memperlihatkan komitmen mahasiswa terhadap pembangunan lestari. Penasihat Kelab Prime Mover, Puan Lai See May dan Puan Normashidayu Abu Bakar, serta wakil pengiring dari UUM, turut hadir memberikan bimbingan dan sokongan sepanjang program berlangsung.

Secara keseluruhannya, “One Heart One Hope” bukan sekadar platform khidmat masyarakat rentas negara, malah menjadi wadah pemerkasaan nilai kemanusiaan, perpaduan mahasiswa antara universiti serta pengalaman bermakna dalam membina jati diri sebagai sukarelawan global. Inisiatif ini membuktikan bahawa semangat kesukarelawanan mampu menyatukan hati dan harapan tanpa mengira sempadan.

Penyedia Laporan:
Kelab Prime Mover
UiTM Cawangan Kelantan