BACHOK, 12 Jun - Pelajar International Centre for Education in Professional Studies (iCEPS) UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Kota Bharu telah melaksanakan Program CSR: Gotong-Royong di Pantai Irama, Bachok Kelantan pada 24 Mei 2025. Program ini melibatkan kerjasama antara Majlis Daerah Bachok dan Jabatan Pertahanan Bomba Cawangan Bachok.
Secara amnya, program ini membuka platform kepada pelajar untuk menjalankan sebuah majlis bagi mengadakan program CSR. Menerusi program ini, ianya dapat memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar yang masih dalam pengajian dan juga mempromosikan iCEPS UiTM kepada masyarakat. Program ini memberi ruang kepada pelajar Pengajian Jarak Jauh (PJJ) bekerjasama dan mencetuskan kreativiti dalam menyelesaikan tugasan yang bukan hanya memberi penekanan dari sudut teori sahaja. Memandangkan semua pelajar PJJ adalah pelajar yang telah bekerja dan belajar separuh masa, program ini sesuai dijadikan sebagai salah satu elemen dalam penilaian markah mereka.
Program bermula pada jam 8:00 pagi dengan ketibaan para tetamu jemputan dan pendaftaran peserta dianggarkan seramai 30 orang. Majlis diteruskan dengan sesi bacaan doa diikuti sesi taklimat yang telah disampaikan oleh Dr. Yus Heary Mahmud, Penasihat Program dan Dr. Tismazammi Mustafa, Koordinator iCEPS UiTM Kampus Kota Bharu. Sekitar jam 10:00 pagi, bermula gotong-royong sehingga jam 12:00 tengah hari dan berakhir dengan jamuan makan tengah hari.
Program seumpama ini bukan sahaja menjadi medan latihan kepada pelajar yang menganjurkan, tetapi ia juga dilihat sebagai ruang komunikasi antara pelajar iCEPS dalam membentuk jaringan (network) yang baik dengan pihak luar.
Penyedia Laporan:
Puan Nur Atikah Muhammad
Kerani
iCEPS UiTM Kampus Kota Bharu