Berdamai Dengan Takdir, Bukan Sekadar di Bibir Anjuran Unit Psikologi dan Kaunseling

MACHANG, 12 Jun - Pada 21 Mei 2025 (Rabu), Unit Psikologi dan Kaunseling telah menganjurkan program ceramah bertajuk “Berdamai Dengan Takdir, Bukan Sekadar di Bibir”. Program ini dilaksanakan secara bersemuka di HRD A, UiTM Cawangan Kelantan serta disiarkan secara langsung melalui laman Facebook rasmi Unit Psikologi dan Kaunseling UiTM Cawangan Kelantan.

Penceramah jemputan bagi program ini ialah Tuan Haji Zulkifli Mohd Nor, Pegawai Psikologi Kanan dari Pejabat Kebajikan Masyarakat Cawangan Tanah Merah. Program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran seramai 540 orang peserta, terdiri daripada staf UiTM sama ada di Dewan Seminar HRDA atau di laman Facebook upkhepuitmck secara siaran langsung.

Tujuan penganjuran ceramah ini adalah untuk memberikan kesedaran bahawa berdamai dengan takdir bukanlah sekadar ucapan di bibir, sebaliknya merupakan satu proses jiwa yang mendalam. Ia menuntut keikhlasan, kekuatan emosi, serta keimanan yang utuh dalam menghadapi setiap ketentuan hidup. Takdir sememangnya tidak dapat diubah, namun cara kita menerimanya mampu menentukan ketenangan, kebijaksanaan, dan rasa syukur dalam menjalani kehidupan seharian.

Penyedia Laporan:
Puan Zainab 'Izzah Mahmud KB, PA (MAL)
Timbalan Pegawai Psikologi
Unit Psikologi dan Kaunseling 
Bahagian Hal Ehwal Pelajar