MACHANG, 12 Jun - Pada 27 Mei 2025 (Selasa), Unit Psikologi dan Kaunseling telah mengadakan program Chromacode: Rahsia Warna Dalam Diri Melalui Ujian Personaliti. Program ini dijalankan secara bersemuka bertempat di Bilik Seminar, Perpustakaan Tengku Anis, UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang.
Perkongsian menarik ini telah disampaikan oleh pelajar latihan industri Unit Psikologi dan Kaunseling, yang membawakan perspektif baharu berkaitan personaliti individu melalui pendekatan ujian warna (chromacode). Program ini terbuka kepada semua staf UiTM, dan seramai 30 orang telah mengikuti program ini.
Tujuan utama penganjuran program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada warga UiTM tentang potensi dan kecenderungan diri berdasarkan warna dominan personaliti masing-masing. Melalui program ini, peserta didedahkan tentang bagaimana warna boleh mencerminkan gaya komunikasi, kekuatan diri, serta potensi kerjaya. Program ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran kendiri dan membantu peserta memahami serta menghargai perbezaan personaliti di tempat kerja.
Program ini turut memberi ruang kepada peserta untuk menjalani aktiviti penilaian kendiri, sekali gus mencetuskan perbincangan yang interaktif dan bermakna.
Penyedia Laporan:
Puan Zainab 'Izzah Mahmud KB, PA (MAL)
Timbalan Pegawai Psikologi
Unit Psikologi dan Kaunseling
Bahagian Hal Ehwal Pelajar