Penglibatan Komander Kesatria UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) - Larian 'Miles for Cleft 2025'

KUBANG KERIAN, 12 Jun - Program Larian Miles for Cleft anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan yang telah dijalankan pada 23 Mei 2025 bertempat di Kompleks Sukan 2, Kampus Kesihatan, USM merupakan sebuah program anjuran Persatuan Sains Pergigian (PSG) yang telah diadakan secara fizikal pada tahun 2016, 2018 dan 2019, serta secara maya pada tahun 2022 dan 2023, kini kembali buat pertama kalinya sejak pandemik dalam format hibrid, yang menggabungkan penyertaan secara fizikal dan maya pada tahun ini.

Menyedari kepentingan menjaga kebajikan kanak-kanak yang mengalami masalah sumbing bibir dan lelangit, PSG telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan larian amal, Miles for Cleft 2025. Program ini bertujuan untuk mengumpul dana bagi Persatuan Sumbing Bibir dan Lelangit Malaysia (CLAPAM) serta Persatuan Kebajikan Pesakit Kanak-kanak HPUSM (PEKA), di samping meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu berkaitan sumbing bibir dan lelangit. Dana yang dikumpul akan digunakan untuk membantu kanak-kanak yang terkesan dengan keadaan ini.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dr. Norhayati Yusop, Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti, Sekolah Sains Pergigian (PPSG), yang mewakili Dekan PPSG. Turut hadir ialah Profesor Dr. Wan Azman, pakar bedah plastik di HPUSM dan wakil CLAPAM, Dr. Rosmaliza Ramli, penasihat PSG, Dr. Johari Yap, pensyarah di PPSG, serta Lt. (Kest) Mohd Hafiz Zali, Penasihat Komander Kesatria Negara UiTMCK juga selaku Pegawai Pengiring Komander UiTMCK.

Program ini berjaya menarik lebih daripada 150 peserta secara fizikal, termasuk pelajar dan staf USM, pelajar dari Komander Kesatria UiTMCK, serta orang awam. Meskipun berdepan persaingan yang sengit daripada peserta lain, wakil Komander Kesatria UiTMCK telah berjaya meraih pelbagai kejayaan cemerlang dalam setiap kategori yang dipertandingkan. Seramai sembilan orang komander dan seorang staf yang telah memenangi acara larian tersebut, manakala tiga orang komander turut bertuah apabila berjaya memenangi hadiah dalam cabutan bertuah. Kejayaan ini telah menyemarakkan lagi suasana program dan menyerlahkan penglibatan aktif Komander Kesatria UiTMCK.

Tahniah diucapkan kepada para komander dan staf yang telah berjaya dalam larian tersebut serta mencapai kedudukan berikut:

  • Tempat pertama (pelbagai kategori): 3 orang komander
  • Tempat kedua (pelbagai kategori): 2 orang komander
  • Tempat ketiga (pelbagai kategori): 2 orang komander
  • Tempat keempat (pelbagai kategori): 1 orang staf dan 1 orang komander
  • Tempat kelima (pelbagai kategori): 1 orang komander

Kejayaan ini mencerminkan semangat juang, dedikasi dan komitmen tinggi dalam kalangan staf dan ahli Komander Kesatria UiTMCK. Tahniah dan syabas sekali lagi diucapkan kepada semua.

Penyedia Laporan:
Saudari Safiah Bador Radzman
Setiausaha Agung
Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK)