Implementasi Kurikulum Outcome-Based Education (OBE) Berdaya Saing Internasional

MACHANG, 12 Jun - Satu Bengkel Kurikulum Berbasis Outcome-Based Education (OBE) telah dilaksanakan secara hibrid oleh Universitas Muslim Nusantara Al Washliyah (UMN AW) pada 12 Februari 2025. Berdiri sebagai sebuah universiti yang menjunjung tinggi nilai-nilai keislaman dan kearifan lokal untuk mendorong dan mengangkat martabat masyarakat, UMN AW mempunyai visi untuk menjadi sebuah universiti terbaik yang menekankan kepentingan dan nilai manusia, berdikari, islamik dan berdaya saing di peringkat antarabangsa pada tahun 2045. Selain itu, UMN AW mempunyai misi untuk melaksanakan pendidikan dan pengajaran berkualiti yang berdaya saing di peringkat antarabangsa, berdikari, kolaboratif, berteraskan kearifan tempatan, dan bercirikan keislaman, yang berpaksikan kepada pelajar agar mampu memenuhi tuntutan masyarakat. Melalui misinya juga,UMN AW meningkatkan kerjasama yang saling menguntungkan di peringkat tempatan, nasional dan antarabangsa dengan pelbagai pihak dengan syarat ia tidak melanggar ajaran agama, undang-undang, norma dan etika.

Tujuan utama penganjuran bengkel ini adalah untuk membincangkan pelaksanaan kurikulum OBE dan kurikulum yang boleh melahirkan graduan holistik dari segi rohani dan jasmani serta dapat bersaing di peringkat nasional mahupun peringkat antarabangsa. Bengkel ini telah dirasmikan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik UMN AW, Profesor Dr. Haji Anwar Sadat S.Ag.M.Hum. Peserta-peserta program ini terdiri daripada dekan-dekan, timbalan-timbalan dekan daripada fakulti-fakulti di UMN AW dan juga ketua-ketua program akademik. Timbalan Rektor Kewangan & Sumber Manusia, Dr. Dedi Juliandri Panjaitan M.Si, dan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Dr. Haji Samsul Bahri, M.Si, juga turut hadir bagi memberi sokongan terhadap penganjuran bengkel ini.

Penceramah pakar daripada UiTM Cawangan Kelantan Malaysia, iaitu Profesor Madya Dr. Noor Marini Haji-Abdullah telah diberikan amanah untuk menyampaikan perkongsian yang bertajuk Implementasi Kurikulum Berdaya Saing Internasional. Berbekalkan sedikit sebanyak pengalaman dalam Pembangunan Program Akademik Baharu di UiTM Cawangan Kelantan, Pembangunan Program Kerjasama Dwi-Ijazah, UiTM dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Semakan Kurikulum Program Sedia Ada serta menguruskan Program Sedia Ada Sarjana Perakaunan di UiTM Cawangan Kelantan memberikan beliau kelebihan untuk menyampaikan perkongsian tentang pelaksanaan OBE mengikut pernyataan di dalam Malaysian Qualifications Framework (MQF) 2017 & MQF 2024.

Sesi perkongsian ini disampaikan oleh Dr. Anggia Sari Lubis, SE, M.Si, CHRM, CBV iaitu Dekan Fakulti Ekonomi & Bisnis. Usai perkongsian tentang pelaksanaan OBE mengikut MQF 2017 & 2024, sesi bengkel diteruskan dengan perbincangan tentang pelaksanaan OBE, pembangunan program akademik, semakan kurikulum, kaedah pengajaran dan penyampaian serta penilaian & pentaksiran yang telah dan sedang diamalkan di UiTM.

Sesi bengkel diteruskan lagi dengan perkongsian daripada Penceramah Pakar yang kedua, iaitu Dr. Hermawan Syahputra, S.Si.,M.Si dengan tajuk Pengayaan Kurikulum OBE Berbasis Hasil Penelitian dan Pengabdian Kepada Masyarakat.

Diharapkan agar perkongsian pelaksanaan OBE mengikut MQF 2017 & 2024 ini sedikit sebanyak dapat memberi input kepada warga UMN AW dalam usaha untuk memartabatkan pendidikan dan pengajaran berkualiti yang berdaya saing di peringkat antarabangsa, berdikari, kolaboratif, berteraskan kearifan tempatan, dan bercirikan keislaman, yang berpaksikan kepada pelajar agar mampu memenuhi tuntutan masyarakat.

Penyedia Laporan:
Profesor Madya Dr. Noor Marini Haji Abdullah
Fakulti Perakaunan
UiTM Cawangan Kelantan