PATTANI, THAILAND, 23 Mei - Fakulti Seni Lukis & Seni Reka (FSSR), Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan (UiTMCK) telah mengadakan lawatan akademik ke Prince of Songkla University (PSU), Kampus Pattani, Thailand. Lawatan ini merupakan langkah strategik ke arah memperkukuh jaringan kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan, dan kebudayaan antara dua institusi pendidikan tinggi serantau.
Delegasi FSSR UiTMCK diketuai oleh Dr. Nani Hartina Ahmad, Ketua Pusat Pengajian, bersama Dr. Siti Fairuz Md Hashim selaku Ketua Projek dan pembentang bagi Jabatan Seni Reka Grafik & Media Digital (AD111). Turut serta dalam rombongan ialah beberapa orang pensyarah kanan yang memainkan peranan penting sepanjang lawatan, antaranya Puan Noor Hafiza Ghazali selaku wakil pembentang dari Jabatan Seni Reka Tekstil (AD112), Ts. Nur Syafinaz Mohd Anuar dari Jabatan Seni Reka Logam Halus (AD113), Puan Wan Soliana Wan Md Zain dari Jabatan Seni Halus (AD118), Puan Hartini Mohd Razali dari Jabatan Pengajian Liberal, dan Puan Mazni Omar yang turut bertindak selaku setiausaha delegasi.
Setibanya di Kampus Pattani, delegasi FSSR UiTMCK disambut dengan penuh mesra oleh barisan pengurusan tertinggi PSU yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Montira Leelakriangsak , Vice President for Academic Affairs PSU. Turut hadir dalam majlis sambutan rasmi ialah Prof. Madya Dr. Warapark Maitreephun, Assistant President for Research and Social Mission, Prof. Madya Sirichai Pummak, Dean of the Faculty of Fine and Applied Arts, serta Dr. Chanakit Thanasuk, Director of the Princess Galyani Vadhana Institute of Cultural Studies.
Sesi dimulakan dengan pembentangan oleh pihak PSU yang memperkenalkan struktur organisasi serta kekuatan akademik dan kreatif Faculty of Fine and Applied Arts PSU. Antara yang diketengahkan termasuk pencapaian pelajar dan pensyarah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, serta perancangan masa hadapan fakulti seperti kolaborasi pameran seni dengan institusi ASEAN dan pembangunan kurikulum berasaskan seni digital.
Sebagai timbal balas, Dr. Nani Hartina turut membentangkan visi dan misi Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, UiTMCK. Beliau menekankan komitmen fakulti dalam melahirkan graduan holistik melalui penggabungan pengetahuan akademik dan kreativiti. FSSR juga aktif menjalin kerjasama dengan komuniti setempat serta industri kreatif tempatan, seiring dengan usaha negara membangunkan ekonomi berasaskan kreativiti.
Perbincangan dua hala antara kedua-dua institusi telah menjurus kepada beberapa cadangan kerjasama yang berpotensi, termasuk program mobiliti pelajar dan pensyarah, penyelidikan bersama dalam bidang seni dan budaya, serta penganjuran pameran seni bertaraf serantau secara kolaboratif.
Majlis diakhiri dengan sesi pertukaran cenderamata sebagai tanda penghargaan dan persahabatan, diikuti sesi bergambar kenang-kenangan. Delegasi FSSR UiTMCK turut berpeluang melawat kemudahan di Faculty of Fine and Applied Arts PSU serta menikmati jamuan makan tengah hari yang disediakan oleh pihak tuan rumah dalam suasana penuh keakraban.
Secara keseluruhan, lawatan ini telah berjaya mengukuhkan hubungan dua hala antara FSSR UiTMCK dan PSU, selain membuka ruang lebih luas kepada kerjasama rentas sempadan dalam bidang seni dan budaya. FSSR, UiTMCK berharap agar pertemuan ini menjadi asas kepada pembangunan kerjasama yang mampan dan memberi impak positif kepada kedua-dua institusi pada masa hadapan.
Penyedia Laporan:
Puan Mazni Omar
Pensyarah Kanan
Fakulti Seni Lukis & Seni Reka
Merangkap Setiausaha Program