Program Kesedaran Bahaya Ancaman Dadah dalam Kalangan Kanak-kanak di Negeri Kelantan

MACHANG - Pada 25 Mei 2025 (Ahad), bertempat di HRD (A), UiTM Cawangan Kelantan Kampus Machang, satu program Kesedaran Bahaya Ancaman Dadah Dalam Kalangan Kanak-Kanak Di Negeri Kelantan telah diadakan bagi mendidik serta meningkatkan kesedaran kanak-kanak terhadap bahaya penyalahgunaan dadah. Program ini dianjurkan oleh pasukan kajian Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) dengan kerjasama Bahagian Penyelidikan, Jaringan Alumni, Industri dan Masyarakat (PJIM&A), UiTM Cawangan Kelantan. Program ini telah dirasmikan oleh Profesor Dr Mohd Afandi Mat Rani, Rektor UiTM Cawangan Kelantan serta turut dihadiri oleh Profesor Dr Yarina Ahmad, Penolong Naib Canselor, Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD, Universiti Teknologi MARA) yang merupakan pakar dan mentor kepada kajian tersebut.

Selain itu, program ini turut menjemput ASP Nur Amarina Shamsuddin, Pegawai Tadbir Perundangan/Naziran Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Polis Diraja Malaysia sebagai penceramah. Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran 44 orang murid-murid dan 12 orang guru-guru sekolah disekitar negeri Kelantan iaitu Sekolah Kebangsaan Che Deris, Sekolah Kebangsaan Bukit Tiu dan Sekolah Kebangsaan Tanah Merah 1. Bukan itu sahaja, peserta-peserta program ini turut dibantu oleh penyelidik-penyelidik, pembantu penyelidik dan 17 orang fasilitator yang terdiri daripada pelajar Diploma Pentadbiran Awam (AM110), UiTM Cawangan Kelantan.

Semoga dengan adanya program kesedaran ini, semua peserta yang terlibat mendapat ilmu dan pengetahuan yang bermanfaat serta dapat memupuk sikap bencikan dadah dalam kalangan kanak-kanak sebagai salah satu kaedah mengurangkan bahaya ancaman dadah di negeri Kelantan dan negara Malaysia.

 

Penyedia Laporan:
Dr Siti Zulaikha Mustapha
Ketua Penyelidik

UiTM Cawangan Kelantan