Kem Kepimpinan dan Sukarelawan Sukan MADANI

PASIR MAS, 29 Mei - Program Kem Kepimpinan dan Sukarelawan Sukan MADANI telah berlangsung dengan jayanya pada 22 hingga 24 Mei 2025 bertempat di Pusat Latihan Akademi Kenegaraan Malaysia, Pasir Mas, Kelantan. Program ini dianjurkan bertujuan untuk membentuk dan melatih mahasiswa menjadi individu yang berdisiplin, mempunyai semangat kesukarelawanan yang tinggi serta mampu memimpin dan mengurus program berkaitan sukan secara efektif. Seramai lebih 70 orang peserta dari JSP Machang, JSP Kota Bharu dan SRM UiTM Cawangan Kelantan telah terlibat dalam program yang bersifat intensif dan berstruktur ini.

Pelbagai aktiviti dan modul latihan telah dilaksanakan sepanjang program, antaranya Latihan Dalam Kumpulan (LDK), ceramah dan aktiviti fizikal. Antara modul yang dijalankan adalah seperti Komunikasi dan Kerja Berpasukan oleh Encik Ruffian Ridzar Mohd Isa, Tugas Sukarelawan dan Urusetia Sukan oleh Encik Muzammel Che Musa, Kerjasama Pasukan oleh Encik Syawalul Imran Yusoff dan Encik Wan Mohd Faiq Wan Abd Malik, serta Penulisan Surat Rasmi oleh Encik Azhar Abdullah, manakala aktiviti Keep Fit dikendalikan oleh Encik Muhammad Ikhmal bin Zuri Asmadi.

Di samping itu, tiga ceramah utama telah disampaikan iaitu Peranan Organisasi Sukan oleh Cik Nor Ashikin Hassan selaku penasihat program, Pengurusan Masa oleh Puan Siti Haslini binti Zakaria, dan Adab Dalam Organisasi oleh Puan Che Azlina Che Pa. Program turut diisi dengan aktiviti kerohanian seperti bacaan Yaasin, solat berjemaah dan Mathurat, serta aktiviti riadah bagi memupuk kecergasan dan disiplin diri.

Program ini dikendalikan sepenuhnya oleh urusetia dan fasilitator program. Program diakhiri dengan sesi refleksi dan Majlis Penutup yang dirasmikan oleh Encik Meer Zhar Farouk bin Amir Razli, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Kelantan, diiringi dengan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan kem ini.

Secara keseluruhan, program ini berjaya mencapai objektifnya dalam melahirkan mahasiswa yang berwibawa, berketerampilan dan bersedia menyumbang dalam aktiviti kepimpinan serta kesukarelawanan di masa akan datang.

 

Penyedia Laporan:
Saudari Nurizzati Eliyana Mohlis
Pengarah Program
Kem Kepimpinan dan Sukarelawan Sukan MADANI