Mahasiswa Fakulti Perakaunan UiTMCK Perkasa Tanggungjawab Sosial Bersama Majlis Daerah Machang dan Komuniti Surau Al-Iktikaf, Machang

MACHANG, 29 April – Seramai 36 orang mahasiswa Diploma Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan telah melibatkan diri dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertemakan kelestarian alam sekitar bertajuk ‘Mutac Fresh and Clean: We Keep It Green’. Program ini merupakan anjuran MARA University of Technology Accountancy Society (MUTAC) dan Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan, dengan kerjasama Majlis Daerah Machang dan Surau Al-Iktikaf, Kg Rengas, Machang.

Program dimulakan seawal jam 6.15 pagi dengan sesi pendaftaran peserta sebelum bertolak ke dua lokasi utama: Surau Al-Iktikaf, Kg Rengas dan Taman Rekreasi Kolam Air Panas Tok Bok, Machang.

Antara agenda utama ialah aktiviti gotong-royong membersihkan Surau Al-Iktikaf bersama komuniti setempat. Aktiviti ini berjaya mencetuskan semangat kerjasama antara mahasiswa dan penduduk kampung dalam menceriakan serta menyucikan kawasan rumah ibadat tersebut. Para peserta berganding bahu membersihkan ruang solat, kawasan luar surau dan mengatur semula kelengkapan surau bagi memastikan keselesaan jemaah. Interaksi sepanjang aktiviti ini turut mengeratkan hubungan dua hala antara institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat.

Program diteruskan dengan sesi ceramah berkaitan penjagaan alam sekitar oleh wakil Pejabat Pertanian Jajahan Machang, diikuti dengan aktiviti penanaman pokok dan pembersihan kawasan rekreasi di sekitar Kolam Air Panas Tok Bok. Para peserta menunjukkan komitmen tinggi dalam menjayakan setiap aktiviti yang dirancang. Kehadiran penasihat kelab, Cik Siti Nor Adawiah Hussin dan Puan Ros Amalina Zakaria telah menyuntik semangat kepada peserta serta memperlihatkan sokongan padu fakulti terhadap program berbentuk pembangunan sahsiah dan kelestarian alam sekitar.

Secara keseluruhan, program ini bukan sahaja membina jati diri mahasiswa melalui penglibatan aktif dalam komuniti, malah menyokong pelaksanaan elemen Sustainable Development Goals (SDG) khususnya SDG 3 (Good Health and Well-Being), SDG 11 (Sustainable Cities and Communities) dan SDG 16 (Peace, Justice and Strong Institutions). Ia juga memenuhi elemen PI029 (Leadership Programme) dan PI031 (Communication Skill Related Programme) dalam pembangunan pelajar.

Program ditamatkan sekitar jam 1.00 tengah hari dengan sesi jamuan dan fotografi sebagai kenangan. Peserta pulang dengan semangat baharu, membawa pengalaman berharga yang memperkukuhkan nilai sosial, keprihatinan alam sekitar dan semangat kerjasama yang tinggi.

 

Disediakan oleh :

Nurbatrisyia Wajiha Binti Mohd Radhi 

Setiausaha Program

Mutac Fresh And Clean: We Keep It Green