MACHANG, 19 Mei 2025 - Seramai lebih 300 mahasiswa UiTM Cawangan Kelantan telah menyertai program kesihatan mental dengan tema “Healing Starts with You” anjuran Kelab Prime Mover, bertempat di UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental dan kesejahteraan emosi dalam kalangan pelajar.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Kelantan, YBrs. Encik Meer Zhar Farouk Amir Razli. Dalam sesi ucapan, beliau memuji inisiatif penganjur dalam mengetengahkan isu penting berkaitan kesihatan mental serta menyediakan ruang buat mahasiswa mengenali dan mengurus emosi mereka dengan lebih berkesan.
Penasihat Kelab Prime Mover, Puan Lai See May dan Puan Normashidayu Abu Bakar turut hadir memberikan sokongan padu sepanjang program. Kedua-dua penasihat menjadi tunjang utama dalam membimbing ahli kelab merancang, menyelaras dan melaksanakan program ini secara tersusun dan berimpak.
Program ini menampilkan penceramah jemputan, Encik Emir Haqim Azahari, graduan Diploma Kaunseling dengan kepujian kelas pertama dari Universiti Sultan Azlan Shah. Beliau kini melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) di Universiti Tun Abdul Razak serta berkhidmat selaku Pegawai Intervensi Awal di Playhouse Therapy Center, TTDI. Encik Emir terlibat secara aktif dalam kesemua slot program, memberi bimbingan dan sokongan secara langsung kepada para peserta.
Secara keseluruhan, penganjuran program “Healing Starts With You” bukan sekadar program kesedaran, tetapi menjadi ruang refleksi dan pemerkasaan emosi buat para mahasiswa. Pendekatan kreatif, reflektif dan empati yang digunakan membuktikan bahawa kesihatan mental mampu ditangani dengan cara yang lebih dekat di hati, terutamanya dalam komuniti kampus.
Disediakan oleh:
Kelab Prime Mover
UiTM Cawangan Kelantan