Lawatan ke Mahkamah Syariah dan Muzium Kota Bharu, Kelantan

KOTA BHARU, 19 Mei – Kelab Sekretariat Rukun Negara (SRN), UiTM Cawangan Kelantan telah menganjurkan program Lawatan ke Kompleks Mahkamah Syariah Bandar Baru Tunjong, Muzium Istana Batu dan Muzium Bank Kerapu, Kota Bharu pada 19 Mei 2025. Program ini disertai seramai 30 orang pelajar UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang dari kelab Sekretariat Rukun Negara dan diiringi oleh 2 orang penasihat Sekretariat Rukun Negara UiTM Cawangan Kelantan.

Program ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada mahasiswa tentang proses dan prosedur penghakiman di Mahkamah Syariah, di samping memperkaya pengetahuan tentang sejarah dan warisan di Negeri Kelantan. Lawatan ini juga berperanan memupuk semangat mahasiswa untuk menjadi pengamal undang-undang berjati diri. Selain itu, program ini juga menggalakkan pengalaman pendidikan interaktif yang menyeronokkan kepada ahli kelab Sekretariat Rukun Negara.

Antara pengisian menarik dalam program ini termasuk taklimat eksklusif oleh pihak Mahkamah Syariah, lawatan ke sekitar kompleks mahkamah berserta penerangan mengenai fungsi dan perjalanan prosiding perbicaraan di mahkamah. Tambahan lagi, lawatan ke Muzium Istana Batu dan Muzium Bank Kerapu Kota Bharu telah menampilkan pelbagai artifak bersejarah berkaitan warisan dan sejarah di Negeri Kelantan.

Secara keseluruhan, program ini berjaya membuka minda dan menambah nilai ilmiah dalam kalangan ahli kelab Sekretariat Rukun Negara (SRN) UiTM Cawangan Kelantan, sekali gus memperkukuh jati diri serta kefahaman pelajar terhadap sistem perundangan Islam dan sejarah kebudayaan Negeri Kelantan.

Penyedia Laporan:
Encik Mohd Azrul Sidek
Penolong Pendaftar Kanan
Unit Residensi & Hospitaliti Pelajar
Bahagian Hal Ehwal Pelajar