BACHOK, 19 Mei - Seramai 10 peserta wanita Orang Kelainan Upaya (OKU) daripada kategori pertuturan, pendengaran dan fizikal dari kawasan luar bandar seperti Machang dan Pasir Puteh telah menyertai Bengkel Latihan i-Aquaponik yang diadakan di Permai Beach Resort, Kelantan pada 15 Mei 2025. Bengkel ini merupakan sebahagian daripada Program Pemerkasaan dan Kelestarian Ekonomi Golongan OKU Wanita yang bertujuan memperkasa komuniti rentan melalui pemindahan ilmu dan kemahiran keusahawanan berasaskan pertanian moden.
Kaedah i-Akuaponik yang diperkenalkan menggabungkan penanaman sayur-sayuran dan penternakan ikan dalam satu sistem bersepadu yang menggunakan tenaga solar – mesra alam dan mudah diurus. Peserta turut menerima latihan intensif dalam aspek pertanian moden, keusahawanan serta pemasaran digital, selain dibekalkan modul bergambar khas yang mesra OKU. Inisiatif ini tidak hanya memfokuskan aspek teknikal, tetapi turut memperkukuh keyakinan diri dan komunikasi sosial peserta. Berdasarkan unjuran, peserta mampu menjana pendapatan awal sekitar RM310 sebulan – peningkatan 76% berbanding pendapatan sedia ada.
Program ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara Yayasan Hasanah selaku penyumbang dana utama, Pertubuhan Prihatin Ikhtiar Ihsan (IIC) sebagai penyelaras teknikal, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan dan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang membangunkan modul latihan, serta Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan (UKEKWA) yang menyediakan akses pasaran melalui 30 buah Darul Niswah di seluruh negeri Kelantan. Sokongan yang menyeluruh ini menjadikan program bersifat holistik dan mampan serta memberi manfaat langsung kepada komuniti sasaran. Peserta kini lebih bersedia untuk menceburi bidang keusahawanan dan membina masa depan yang lebih sejahtera.
Akhir kata, kejayaan bengkel ini membuktikan bahawa pendekatan pembangunan inklusif berasaskan impak mampu membawa perubahan ketara kepada kehidupan golongan terpinggir. Program ini dijangka diteruskan lagi dengan pemantauan pasca latihan, pendaftaran perniagaan dan peluang penglibatan dalam program usahawan wanita yang lebih luas. Yayasan Hasanah dan rakan strategiknya kekal komited dalam memperkasa komuniti melalui inisiatif berimpak tinggi, sejajar dengan aspirasi pembangunan mampan negara.
Penyedia Laporan:
Puan Roseliza Hamid
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengurusan & Perniagaan