Explorace Rukun Negara: Sambutan Minggu Perpaduan

PASIR MAS, 14 Mei – Sekretariat Rukun Negara (SRN) UiTM Cawangan Kelantan telah diamanahkan sebagai penyelaras program ‘Explorace Rukun Negara’ bersempena Sambutan Minggu Perpaduan 2025 Peringkat Negeri Kelantan pada 9 Mei 2025 bertempat di Kompleks Apam Putra, Bandar Baru Pasir Mas. Program ini melibatkan penyertaan seramai 35 orang peserta, dibantu oleh 7 orang urus setia dalam kalangan ahli SRN serta Guru Tabika Perpaduan, dan diiringi oleh 2 orang penasihat Sekretariat Rukun Negara UiTM Cawangan Kelantan.

Program hasil kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) ini bertujuan untuk menyemai semangat patriotisme dalam kalangan belia, mengukuhkan semangat perpaduan antara kaum serta memperkukuh kefahaman terhadap lima prinsip utama Rukun Negara melalui pendekatan santai dan interaktif. Para peserta dikehendaki melalui lapan checkpoint yang menguji pelbagai aspek seperti pengetahuan, kreativiti, nilai kerjasama, dan kecekapan dalam menyelesaikan tugasan.

Antara aktiviti menarik yang dijalankan sepanjang program adalah membina ‘Menara Perpaduan’ menggunakan straw, lakonan peribahasa, kibaran bendera, cantuman puzzle, serta aktiviti uji minda seperti silang kata dan kuiz yang bertemakan perpaduan negara. Setiap checkpoint dirancang bagi menekankan elemen-elemen utama dalam Rukun Negara melalui pendekatan yang menyeronokkan dan mencabar.

Secara keseluruhannya, program ini telah memberi pendedahan secara langsung kepada peserta tentang kepentingan menghayati dan mengamalkan prinsip Rukun Negara dalam kehidupan seharian. Program ini turut menjadi platform berkesan dalam memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan belia daripada pelbagai kaum dan budaya.

Penyedia Laporan:
Encik Mohd Azrul Sidek
Penolong Pendaftar Kanan
Unit Residensi & Hospitaliti Pelajar
Bahagian Hal Ehwal Pelajar