Lawatan Kerja Delegasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman ke UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) Kampus Kota Bharu

KOTA BHARU, 14 Mei - Lawatan Kerja Delegasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman ke UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) Kampus Kota Bharu telah berlangsung pada 6 Mei 2025. Para delegasi juga menghadiri mesyuarat pemurnian MoA kerjasama penyelidikan antara UiTMCK dan JSJK. Delegasi yang diketuai YDH ACP Azman Mohd Isa, Ketua Penolong Pengarah Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, disambut mesra oleh Ts. Dr Khalid Abdul Wahid, Penolong Rektor Kampus Kota Bharu serta para penerima geran yang diketuai oleh Dr. Azyanee Luqman.

Penyelidikan untuk geran Islamic Economics Research and Innovation Fund (IERIF) 2024 ini bakal membangunkan aplikasi mudah alih yang akan mendapat kerjasama daripada pihak JSJK. Mesyuarat pemurnian berlangsung dalam keadaan baik dan harmoni. Kajian dan aplikasi mudah alih yang akan dibangunkan diharapkan dapat membantu pihak JSJK dalam mengurangkan kes jenayah siber yang sedang meruncing di negara kita.

Selain daripada mesyuarat pemurnian MoA, kehadiran delegasi JSJK juga turut memberikan input bermakna kepada para pensyarah dan pelajar melalui seminar kolaborasi pengajaran yang berlangsung pada sesi petang. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Dr. Norzieha Mustapha, Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni. Seminar kolaborasi pengajaran yang bertajuk Cybercrime: Creating Awareness by Unlocking the Value of Data juga telah disampaikan oleh DSP Mail Yussof, Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Siber dan Multimedia. Seminar ini dilaksanakan bagi memenuhi keperluan subjek Legal and Ethical Aspects of Information System (IMS657) dan Business Analytics (MGT555).

Seminar yang dihadiri oleh 181 orang pelajar dan 8 orang pensyarah telah mendapat maklum balas positif mengenai pemahaman pelajar serta pensyarah tentang isu keselamatan siber. Seminar tersebut turut dijalankan secara maya melalui platform Google Meet yang dihadiri oleh seluruh warga UiTM Cawangan Kelantan.

Semoga kerjasama ini memberikan impak positif terhadap pencapaian UiTM Cawangan Kelantan serta turut menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

Penyedia Laporan:
Puan Siti Sarah Mohamad
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan
UiTM Cawangan Kelantan