Mahasiswa Fakulti Perakaunan UiTMCK Mengembara Ilmu Melalui Program ‘The Accounting Adventure 2025’

MACHANG, 7 Mei – Seramai 74 orang mahasiswa Diploma Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) telah menyertai program The Accounting Adventure 2025 yang berlangsung dengan penuh keceriaan di Kompleks Sukan B dan Blok Akademik, UiTM Cawangan Kelantan pada 26 April. Program ini merupakan anjuran MARA University of Technology Accountancy Society (MUTAC) dengan kerjasama UiTM CLICK CLUB (U’CliCb), melibatkan keseluruhan 130 individu termasuk peserta, ahli jawatankuasa pelaksana dan penasihat program.

Program ini dimulakan dengan sesi pendaftaran dan acara senamrobik seawal jam 8:00 pagi, sebelum diteruskan dengan aktiviti utama yang berteraskan elemen pembelajaran interaktif berkonsepkan permainan (game-based learning). Para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk menyertai pelbagai stesen cabaran yang menguji kemahiran berfikir, menyelesaikan masalah, dan pengetahuan asas perakaunan. Suasana riuh dengan sorakan, gelak ketawa dan semangat berpasukan yang tinggi mewarnai setiap aktiviti.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pusat Pengajian Fakulti Perakaunan UiTMCK, Dr. Nik Zam Nik Wan, bersama penasihat kelab, Cik Siti Nor Adawiah Hussin dan Puan Ros Amalina Zakaria serta wakil Majlis Perwakilan Pelajar iaitu Saudara Mohd Ariff Ahmad Fauzi, Exco Kebajikan dan Khidmat Mahasiswa. Kehadiran tetamu kehormat ini menjadi suntikan semangat buat semua peserta dan menunjukkan sokongan yang tinggi terhadap penganjuran program berbentuk inovatif seperti ini.

Sepanjang program berlangsung, peserta bukan sahaja dapat meningkatkan pemahaman mereka terhadap subjek perakaunan secara tidak formal, malah turut berpeluang membina kemahiran sosial, komunikasi, dan kerjasama berkumpulan. Aktiviti ini juga menyokong pelaksanaan elemen PI029 (Leadership Programme) dan PI039 (Emotional Well-being) seperti yang digariskan oleh pihak universiti.

Program tamat pada jam 1:00 tengah hari dengan sesi penyampaian hadiah kepada kumpulan terbaik, diikuti dengan sesi fotografi kenangan bersama tetamu jemputan. Para peserta pulang dengan wajah ceria dan penuh inspirasi hasil daripada pengalaman yang menyeronokkan dan bermanfaat.

The Accounting Adventure 2025 telah berjaya mencapai objektif utamanya iaitu menyediakan platform pembelajaran yang menyeronokkan dan interaktif sambil memupuk nilai sahsiah serta semangat berpasukan dalam kalangan mahasiswa Fakulti Perakaunan UiTMCK. Program ini wajar diteruskan sebagai salah satu inisiatif membentuk pelajar yang holistik, kreatif dan berdaya saing dalam dunia perakaunan masa kini.

Penyedia Laporan:
Saudari Ainin Nadhira Zaimi
Setiausaha Program
The Accounting Adventure 2025