Pemurnian Projek Tahun Akhir Program Diploma Perakaunan, Kolej Vokasional Pasir Puteh (KVPP), Kelantan

PASIR PUTEH, 30 April – Sesi Pemurnian Projek Tahun Akhir Diploma Perakaunan telah di adakan di Kolej Vokasional Pasir Puteh pada 21 Januari 2025. Projek Tahun Akhir (PTA) merupakan kursus wajib dalam program Diploma Vokasional Malaysia (DVM) yang perlu dilaksanakan pada tahun akhir bertujuan untuk menguji dan menilai kemahiran pelajar dalam mengaplikasikan kemahiran yang telah dipelajari sepanjang tempoh pengajian selama empat (4) tahun lima (5) bulan yang dibahagikan kepada dua (2) tahun peringkat Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan dua (2) tahun lima (5) bulan peringkat Diploma (Garis Panduan Projek Tahun Akhir Kolej Vokasional, 2023).

Kaedah pelaksanaan projek tahun akhir ini dilihat sebagai kaedah penilaian yang holistik dan integratif memandangkan melalui Projek Tahun Akhir ini, pelajar perlu menjalin dan menggabungkan pengetahuan, kemahiran dan kebolehan mereka secara kreatif dan inovatif sepanjang berada di Kolej Vokasional seperti yang digariskan dalam Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF). Situasi ini menggambarkan bahawa pelajar perlu menguasai hasil pembelajaran sebelum mereka bergraduat (Garis Panduan Projek Tahun Akhir Kolej Vokasional, 2023).

Selain daripada bercirikan ‘Project-Based Education (PBE)’ dan mempunyai nilai-nilai ‘future upgrade’ untuk diubah suai atau ditambah baik bagi meningkatkan kualiti projek tersebut, rekaan projek haruslah mengambil kira perkembangan teknologi terkini seperti teknologi hijau, penjimatan tenaga, inovasi, pemasangan mudah, mudah alih, kitar semula, ergonomik dan lain-lain lagi (Garis Panduan Projek Tahun Akhir Kolej Vokasional, 2023).

Penyediaan Projek Tahun Akhir ini juga dilakukan dengan tujuan untuk membangunkan modal insan negara yang mampu bersaing dengan negara maju di dunia, serta berupaya melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, mampu berfikir secara kritis dan kreatif, mempunyai kemahiran kepimpinan yang mantap dan berupaya berkomunikasi dengan berkesan pada peringkat global (Garis Panduan Projek Tahun Akhir Kolej Vokasional, 2023).

Sesi pemurnian Projek Tahun Akhir ini telah disertai oleh pelajar tahun akhir Diploma Perakaunan, Ketua Jabatan Perniagaan, Ketua Program Diploma Perakaunan, Penyelaras Projek Tahun Akhir Diploma Perakaunan dan penyelia-penyelia kepada pelajar-pelajar tersebut. Sesi pemurnian dimulakan dengan ucapan aluan oleh Puan Malissa Mustaffa selaku Ketua Jabatan Perniagaan, diikuti dengan pembentangan Projek Tahun Akhir oleh para pelajar mengikut kumpulan dan projek inovasi mereka.

Penceramah jemputan Profesor Madya Dr Noor Marini Haji-Abdullah daripada Fakuti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan yang juga berperanan sebagai fasilitator jemputan di dalam sesi pemurnian ini bertanggungjawab untuk menilai pembentangan pelajar serta memberikan cadangan penambahbaikan bagi Projek Tahun Akhir ini.

Usai pembentangan dan sesi penilaian projek akhir, sesi ini diteruskan dengan amanat daripada penceramah jemputan tentang perkembangan terkini di dalam bidang perakaunan dan pengauditan serta peluang kerjaya bagi graduan Diploma Perakaunan. Di samping itu para pelajar juga diberikan pendedahan tentang kepentingan, halatuju dan prospek yang lebih berdaya saing dan berdaya maju apabila menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Program ini ditutup dengan upacara penyampaian sijil dan cenderahati oleh Puan Wan Fazariah Abdullah@Zakaria, Timbalan Pengarah Akademik KVPP.

 

Sumber rujukan:

Sektor Jaminan Kualiti dan Pengiktirafan Program SVM /DVM Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV), (2023).

Garis Panduan Projek Tahun Akhir Kolej Vokasional (Cetakan ketujuh, Kementerian Pendidikan Malaysia).

 

Disediakan oleh:

Profesor Madya Dr Noor Marini Haji-Abdullah

Fakulti Perakaunan

UiTM Cawangan Kelantan