Mahasiswa Fakulti Perakaunan UiTMCK Berjalan Bersama Dalam Program 'Accountants on Track: Brisk & Bond'

MACHANG, 23 April 2025 – Seramai 29 orang pensyarah Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan (UiTMCK) yang juga bertindak selaku Penasihat Akademik (PA), bersama 319 orang mahasiswa telah menyertai program Accountants on Track: Brisk & Bondyang berlangsung penuh ceria dan bersemangat di Kampus Machang.

Program selama satu jam setengah ini dimulakan dengan taklimat ringkas oleh Ketua Pusat Pengajian, Dr. Nik Zam Nik Wan. Dalam taklimatnya, beliau menekankan kepentingan hubungan erat antara Penasihat Akademik dan anak-anak PA dalam membentuk ekosistem akademik yang lebih kukuh dan harmoni.

Selepas sesi taklimat, para pensyarah dan mahasiswa berkumpul di Blok D untuk memulakan sesi berjalan santai mengelilingi kampus sejauh 2.60 kilometer. Sepanjang perjalanan, suasana meriah diisi dengan gelak ketawa dan perbualan santai antara PA dan anak-anak PA. Mereka mengambil peluang ini untuk lebih mengenali antara satu sama lain, bertukar cerita dan berkongsi pengalaman akademik serta kehidupan kampus.

Selain itu, para peserta juga merakamkan detik-detik indah dengan bergambar bersama bagi mengabadikan kenangan manis sepanjang program. Aktiviti berjalan santai ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah mengukuhkan hubungan mesra dalam suasana yang penuh keakraban.

Sebelum bersurai, setiap peserta diberikan sebotol air mineral dan sebuku roti sebagai tanda penghargaan dan untuk mengisi tenaga selepas aktiviti berjalan. Program tamat sepenuhnya pada sekitar jam 6:30 petang.

Program ‘Accountants on Track: Brisk & Bond’ ini telah berjaya mencapai objektif utamanya, iaitu membina jalinan kukuh antara PA dan mahasiswa di samping menyemai semangat kekitaan dalam komuniti Fakulti Perakaunan UiTMCK. Kejayaan program ini menjadi bukti komitmen fakulti dalam memperkasa kesejahteraan dan sokongan akademik buat semua mahasiswa.

Penyedia Laporan:
Puan Siti Noor Azmawaty Abd Razak
Pengarah Program