Aktiviti Demonstrasi dan Jualan Sebagai Wadah Mempromosi Bidang Seni Lukis dan Seni Reka Anjuran 4 Jabatan Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM Cawangan Kelantan

MACHANG, 6 Mac - Bidang Seni Lukis dan Seni Reka memainkan peranan penting dalam dunia kreatif dan industri moden. Seni bukan sahaja mencerminkan budaya dan ekspresi diri, tetapi juga berpotensi besar dalam aspek ekonomi dan keusahawanan. Oleh itu, aktiviti demonstrasi dan jualan merupakan platform yang efektif untuk memperkenalkan dan mempromosikan bidang ini kepada masyarakat umum, terutamanya kepada pelajar yang berminat dalam dunia seni. Program ini bertujuan untuk menarik minat pelajar, memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai kepelbagaian seni, serta memperlihatkan bakat dan kreativiti pelajar UiTMCK dalam empat bidang utama.

Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM Cawangan Kelantan menawarkan empat (4) program di peringkat diploma iaitu:

  1. CAAD111 – Diploma Seni Lukis & Reka (Grafik & Media Digital)
  2. CAAD112 – Diploma Seni Lukis & Reka (Seni Reka Tekstil)
  3. CAAD113 – Diploma Seni Lukis & Reka (Seni Reka Logam Halus)
  4. CAAD118 – Diploma Seni Lukis & Reka (Seni Halus)

Sempena Pameran Diploma Tahun Akhir Kolej Pengajian Seni Kreatif Sesi 20244 yang baru selesai diadakan, program pada kali ini telah menggabungkan keempat-empat jabatan dengan mengadakan aktiviti demonstrasi dan jualan (Art Market). Program ini telah berlangsung selama 3 hari iaitu pada 24 Februari sehingga 26 Februari 2025 bertempat di Aras G, Dewan Profesional UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang. Setiap jabatan telah membuka kaunter jualan produk jabatan dan mengadakan aktiviti demonstrasi bagi menarik perhatian dan minat pelajar-pelajar yang berkunjung ke pameran ini. Sebanyak 6 buah sekolah sekitar negeri Kelantan juga turut hadir ke pameran ini bagi memeriahkan suasana. Program ini juga memberi peluang kepada para pelajar sekolah untuk merasai dan menyertai semua aktiviti demonstrasi yang diadakan seperti mencanting batik, membuat cincin dan membeli pelbagai produk yang dihasilkan oleh setiap jabatan. Di samping itu, para mahasiswa dan mahasiswi juga dapat menimba pengalaman melalui penglibatan mereka dalam aktiviti jualan dan demonstrasi, mereka juga belajar untuk mempromosikan bidang Seni Lukis dan Seni Reka. Selain itu, para mahasiswa dan mahasiswi juga dapat mencipta pengalaman berharga dalam bidang seni, pemasaran, dan keusahawanan. Melalui program ini, mahasiswa dan mahasiswi dapat mengasah bakat mereka, membina keyakinan diri, serta memperluaskan peluang kerjaya dalam industri kreatif. Diharapkan aktiviti ini dapat menjadi platform tahunan di UiTMCK bagi menyokong perkembangan pelajar dan memperkukuhkan peranan UiTM dalam melahirkan bakat seni yang berkualiti.

Melalui aktiviti demonstrasi seni secara langsung, pengunjung dapat menyaksikan sendiri proses penghasilan karya seni dalam pelbagai medium, memahami teknik yang digunakan, dan turut serta dalam sesi interaktif.  Selain itu, aktiviti jualan akan membuka peluang kepada pelajar dan penggiat seni untuk menjana pendapatan melalui karya mereka, sekali gus memupuk semangat keusahawanan dalam bidang seni. Diharapkan program ini dapat membantu meningkatkan kesedaran tentang kepentingan bidang seni, memperkasakan industri kreatif, serta memberi peluang kepada bakat-bakat baharu untuk berkembang dalam bidang yang semakin mendapat tempat di peringkat global. Aktiviti demonstrasi dan jualan sebagai wadah mempromosikan bidang Seni Lukis dan Seni Reka di UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) telah membuktikan keberkesanannya dalam meningkatkan kesedaran dan minat terhadap dunia seni. Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar dan masyarakat untuk mengenali dengan lebih dekat bidang seni, tetapi juga menjadi platform interaktif yang membolehkan mereka melalui sendiri proses penghasilan karya dan produk dalam pelbagai disiplin seni. Diharap dengan adanya program seperti ini akan menjadi suatu kaedah untuk menarik lebih ramai pelajar menyertai bidang seni kreatif sebagai pilihan kerjaya mereka pada masa hadapan.

Promosi kemasukan pelajar dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka perlu dilakukan secara kreatif dan interaktif bagi menarik minat pelajar yang berbakat dan berminat dalam bidang ini. Dengan gabungan demonstrasi seni, media sosial, kerjasama sekolah, serta pendedahan peluang kerjaya, UiTMCK dapat meningkatkan kesedaran tentang potensi industri seni dan menarik lebih ramai pelajar untuk mendaftar dalam program seni yang ditawarkan.

Penyedia Laporan:
Ts. Rozita Shamsuddin
Jabatan Seni Reka Logam Halus
Kolej Pengajian Seni Kreatif
UiTM Cawangan Kelantan

 Encik Hamdan Lias
Jabatan Seni Reka Tekstil 
Kolej Pengajian Seni Kreatif
UiTM Cawangan Kelantan

Puan Wan Salwana Wan Sulaiman
Jabatan Seni Reka Tekstil
Kolej Pengajian Seni Kreatif
UiTM Cawangan Kelantan

YM Raja Syamsul Haq Raja Kamrin
Jabatan Seni Reka Tekstil
Kolej Pengajian Seni Kreatif
UiTM Cawangan Kelantan

Dr. Mohamed Iqbal Badaruddin
Jabatan Pengajian Liberal
Kolej Pengajian Seni Kreatif
UiTM Cawangan Kelantan