Kejayaan Pameran "Reimagining Reality: New Artist Unveiled”

Seni merupakan satu bentuk ekspresi yang melangkaui batas bahasa dan budaya. Ia menjadi medium utama dalam menyampaikan idea, emosi, dan pemikiran kreatif yang mencerminkan realiti serta imaginasi individu. Dalam era yang semakin dipacu oleh teknologi dan inovasi, seni terus memainkan peranan penting dalam membentuk landskap visual dan intelektual masyarakat. UiTM Cawangan Kelantan, melalui Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), tetap teguh dalam mendukung perkembangan seni, menyediakan pentas bagi pelajar menzahirkan bakat dan kreativiti mereka.

Sebagai manifestasi komitmen ini, KPSK UiTM Cawangan Kelantan telah berjaya menganjurkan pameran diploma pelajar tahun akhir yang bertemakan "Reimagining Reality: New Artist Unveiled". Bertempat di Aras G, Dewan Profesional UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang. Pameran yang berlangsung dari 24 hingga 26 Februari 2025 ini telah dirasmikan oleh En. Syahrul Niza Zaini, Kurator Kanan, Bahagian Penyelidikan Balai Seni Negara. Pameran ini bukan sekadar sebuah peragaan karya, tetapi suatu perayaan imaginasi dan kreativiti, memperlihatkan kelahiran seniman baharu yang berani mentafsir dunia dengan lensa tersendiri. Sambutan luar biasa daripada pelbagai pihak termasuk pelajar, pensyarah, wakil industri, serta masyarakat umum menjadi bukti bahawa seni masih bernafas dalam denyut nadi masyarakat.

Pada hari kemuncak pameran, program ini menerima kunjungan Yang Berusaha Rektor, Profesor Dr. Mohd Afandi Mat Rani, bersama Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Yang Berusaha Prof. Madya Dr. Mohd Nasir Ismail dan Timbalan Pendaftar Kanan, Yang Berusaha En. Hishamudin Mohamad Twontawi yang turut hadir bagi menyaksikan sendiri hasil karya pelajar. Sokongan yang diberikan bukan sahaja menjadi penghormatan kepada penganjur, malah menjadi pemangkin semangat untuk terus memperkasakan program-program sebegini yang bukan sahaja menyerlahkan bakat pelajar, tetapi juga mengangkat reputasi KPSK ke peringkat yang lebih tinggi. Selain itu, pameran ini turut menerima kunjungan daripada pelbagai institusi luar, termasuk wakil dari Muzium Negeri Kelantan, Kolej Vokasional Tanah Merah, UNITAR College Kota Bharu, serta sekolah-sekolah sekitar kawasan Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas, Machang dan lain-lain. Kehadiran mereka bukan sahaja memeriahkan acara, tetapi juga membuktikan bahawa pameran ini menjadi medan perkongsian ilmu, mempertemukan pelbagai lapisan masyarakat dalam apresiasi seni yang lebih meluas.

Sebagai platform utama bagi pelajar tahun akhir Diploma, pameran “Reimagining Reality: New Artist Unveiled” mempersembahkan hasil karya kreatif daripada empat jabatan, iaitu CAAD111 – Diploma Seni Lukis & Reka (Grafik & Media Digital), CAAD112 – Diploma Seni Lukis & Reka (Seni Reka Tekstil), CAAD113 – Diploma Seni Lukis & Reka (Seni Reka Logam Halus), dan CAAD118 – Diploma Seni Lukis & Reka (Seni Halus).

Setiap jabatan menetapkan tema unik sebagai landasan eksplorasi seni pelajar. CAAD111 mengangkat tema ‘Ingenious 8.0’, CAAD112 menampilkan keindahan flora melalui tema ‘Floral’, CAAD113 meneroka konsep ‘Fusion, Futuristic & Traditional’, manakala CAAD118 mengangkat keagungan sastera melalui tema ‘Jogho: Manifestasi Karya Agung Sastera ke Dalam Seni Visual – Karya Osman Kelantan’. Karya yang dipamerkan mencerminkan imaginasi dan pemahaman pelajar terhadap konsep yang diketengahkan.

Di bawah pancaran lampu galeri, hasil cetusan idea daripada 70 orang pelajar telah dizahirkan dalam pelbagai medium seni, masing-masing membawa identiti dan makna dalam medium ekspresi yang berbeza. Setiap karya yang dipamerkan membawa naratif tersendiri, mencerminkan gabungan antara estetika, makna, dan kefahaman akademik yang telah dipelajari sepanjang pengajian. Sepanjang tiga hari berlangsung, pengunjung berpeluang menyaksikan seni secara langsung, meneliti teknik dan kehalusan karya yang dicipta dengan penuh dedikasi. Lebih daripada sekadar tatapan, pameran ini turut menyediakan ruang interaksi antara pelajar dan khalayak, mencambahkan pemikiran serta mencetuskan perbincangan yang bernas tentang landskap seni masa kini.

Tidak terhenti sekadar paparan visual, pameran ini juga menyuntik elemen pengalaman mendalam dengan menyaksikan karya seni secara langsung, menghayati pelbagai teknik dan pendekatan dalam penciptaan karya.  Selain itu, mereka dapat menyertai aktiviti berteraskan misi akademik serta mendengar perkongsian pengalaman daripada alumni dan penggiat seni, membuka ruang kepada pertukaran ilmu dan inspirasi dalam dunia seni yang sentiasa berkembang. Lebih daripada sekadar paparan visual, pameran ini turut menyuntik elemen interaktif yang membolehkan pengunjung mendekati seni dengan lebih mendalam. Melalui sesi dialog bersama artis, perbincangan kritis, serta aktiviti seni langsung, pengunjung bukan sahaja menjadi pemerhati tetapi turut terlibat dalam pengalaman yang lebih imersif. Inisiatif ini tidak hanya memupuk apresiasi terhadap seni, malah menyemarakkan semangat untuk meneroka lebih jauh keunikan serta potensi industri kreatif.

Dalam nafas keusahawanan, pameran ini turut menjadi platform untuk memperkukuh jaringan antara pelajar, alumni, dan pihak industri. Ia membuka peluang kepada pelajar untuk memasarkan hasil karya serta membangunkan keusahawanan dalam bidang seni. Sambutan yang menggalakkan terhadap jualan karya dan produk seni membuktikan bahawa bidang ini bukan sekadar landasan ekspresi, tetapi juga berpotensi sebagai kerjaya yang berdaya maju.

Melalui pameran ini, masyarakat bukan sahaja berpeluang menelusuri keindahan seni, tetapi juga memahami dengan lebih mendalam peranan serta kepakaran setiap jabatan dalam melahirkan seniman dan pereka profesional. Pameran ini turut menjadi medan interaksi antara pelajar dan khalayak, memperlihatkan percikan idea segar yang berpotensi mencorakkan landskap seni masa depan. Lebih daripada itu, ia membuka ruang kepada pihak industri untuk mengenal pasti bakat baharu yang mampu memberi nafas segar kepada dunia seni kreatif, menjadikan pameran ini bukan sekadar sebuah peragaan, tetapi sebuah jambatan yang menghubungkan pelajar dengan masa depan industri yang lebih luas dan berdaya maju.

Ketika tirai pameran ini dilabuhkan, kejayaan yang dikecapi bukan sekadar dalam bentuk angka kehadiran atau jumlah karya yang dipamerkan, tetapi dalam impak yang ditinggalkan kepada semua yang hadir. Ia membuktikan bahawa seni terus hidup, berkembang, dan relevan dalam dunia yang sentiasa berubah. Pameran ini bukan sahaja mencapai matlamatnya dalam mempromosikan hasil karya pelajar, tetapi juga menghubungkan mereka dengan pihak industri dan masyarakat yang lebih luas, membuka ruang bagi bakat baharu untuk mekar dan berdaya saing di peringkat yang lebih tinggi.

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat dan menyumbang tenaga serta dedikasi dalam menjayakan program ini. Diharapkan agar tradisi sebegini akan terus subur sebagai pemangkin dalam memperkasakan seni kreatif serta melahirkan generasi seniman yang lebih dinamik dan berwawasan di UiTM Cawangan Kelantan.

Penyedia Laporan:
Puan Mazni Omar
Jabatan Pengajian Liberal
Kolej Pengajian Seni Kreatif 

Dr. Nani Hartina Ahmad
Ketua Pusat Pengajian
Kolej Pengajian Seni Kreatif 

Encik Suhaidi Razi
Jabatan Seni Halus
Kolej Pengajian Seni Kreatif 

Encik Mohd Saipuddin Mohd Hasbullah
Jabatan Grafik & Media Digital
Kolej Pengajian Seni Kreatif 

Dr. Siti Fairuz Md Hashim
Jabatan Grafik & Media Digital
Kolej Pengajian Seni Kreatif  

Puan Hartini Mohd Razali
Jabatan Pengajian Liberal
Kolej Pengajian Seni Kreatif