Program Memperkasa Hubungan: Jelajah Alumni Berjaya UiTM Cawangan Kelantan Encik Johan Ariff (Pengasas Rumah Tiang 12)

KOTA BHARU, 23 Februari - Jelajah keenam bagi ‘Program Memperkasa Hubungan Jelajah Alumni Berjaya UiTM Cawangan Kelantan’ diteruskan ke Rumah Tiang 12 pada 10 Februari 2025. Rumah Tiang 12 ini telah diasaskan oleh Encik Johan Ariff Ismail yang merupakan alumni kumpulan kedua UiTM Cawangan Kelantan di ITM Kampus Kem Kijang dalam bidang Pengajian Perniagaan pada tahun 1991. Bermula sebagai jurugambar dengan merakam foto yang bersifat kesenian Melayu, ia membangkitkan keinginan Encik Johan Ariff Ismail, 52 tahun untuk menyelamatkan rumah tradisional Kelantan iaitu Rumah Tiang 12 yang dianggarkan berusia lebih 100 tahun daripada hampir roboh dan pupus. Beliau banyak menjalankan kerja fotografi dan dokumentasi mengenai warisan Kelantan termasuk dari segi seni binanya. Apabila beliau melihat Rumah Tiang 12, terdetik di hati beliau untuk memperbaikinya dan seterusnya menjadikan ia salah sebuah peninggalan seni budaya yang perlu dijaga dan diketengahkan untuk kemaslahatan masyarakat dan generasi akan datang. Rumah Tiang 12 telah dinobatkan sebagai rumah tradisional tercantik di Malaysia. Rumah ini mendapat nama berdasarkan 12 batang tiang yang terdapat pada rekaan rumah ini. Dalam siri lawatan ini, Encik Johan turut berkongsi kepakaran beliau dengan pengurusan UiTM berkaitan senibina Rumah Tiang 12 dan adat warisan Negeri Kelantan.

Delegasi UiTM Cawangan Kelantan melalui Unit ICAN Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni (BPJIM&A) dengan kerjasama Pusat Jaringan Alumni (ANC) diketuai oleh Profesor TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah (Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni, ICAN), Profesor Madya Datin Sri Dr. Nazura Mohamed Sayuti (Pengarah Pusat Jalinan Alumni) dan Encik Muhamad Luthfi Mohaini (Ketua Jaringan Alumni UiTM). Manakala delegasi UiTM Cawangan Kelantan pula terdiri daripada Profesor Dr. Mohd Afandi Mat Rani (Rektor), Dr. Norzieha Mustapha (Timbalan Rektor PJIM&A), Dr. Nazhatul Sahima Mohd Yusoff (Koordinator ICAN), Profesor Madya Dr. Marziana Madah Marzuki (Koordinator RMU), Puan Rabaatul Azira Hassan (Penyelaras Jaringan Alumni), Puan Shalwati Ramli (Penolong Pendaftar Kanan BPJIM&A) dan barisan pengurusan kanan UiTM Cawangan Kelantan serta Jawatankuasa Jelajah Alumni Berjaya UiTM Cawangan Kelantan.

Melalui pertemuan ini juga pelbagai perkara turut dibincangkan antaranya jalinan kerjasama antara pihak Rumah Tiang 12 dan pihak UiTM melalui penyediaan peluang latihan praktikal pelajar dan staf, menyediakan kepakaran pensyarah dalam bidang senibina, warisan dan pemuliharaan warisan dan adat Melayu khususnya di negeri Kelantan. Selain itu padanan geran industri turut dibincangkan dalam pertemuan ini bagi aktiviti penyelidikan dan konsultansi. Encik Johan turut memaklumkan program ‘Sanggar Budaya’ yang bakal dilaksanakan pada 26 April 2025 yang akan menghimpunkan 9 orang adiguru-adiguru terkemuka dalam kesenian dan warisan Negeri Kelantan. Acara ini menjadi manifestasi untuk menyerlahkan kegemilangan budaya, warisan serta mempamerkan kraftangan tersohor di Negeri Kelantan.

Penyedia Laporan:
Dr. Nazhatul Sahima Mohd Yusoff
Koordinator ICAN
Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni
UiTM Cawangan Kelantan