KOTA BHARU, 23 Februari - UiTM Cawangan Kelantan melalui Unit ICAN Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni (BPJIM&A) dengan kerjasama Pusat Jaringan Alumni (ANC) telah menganjurkan program ‘Jelajah Alumni 2025’ sebagai inisiatif bagi mengeratkan hubungan antara institusi dan alumni yang telah berjaya dalam pelbagai industri. Kunjungan hormat ini diketuai oleh delegasi UiTM Shah Alam yang terdiri daripada Profesor TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah (Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni, ICAN), Profesor Madya Datin Sri Dr. Nazura Mohamed Sayuti (Pengarah Pusat Jalinan Alumni) dan Encik Muhamad Luthfi Mohaini (Ketua Jaringan Alumni UiTM). Manakala delegasi UiTM Cawangan Kelantan pula terdiri daripada Profesor Dr. Mohd Afandi Mat Rani (Rektor), Dr. Norzieha Mustapha (Timbalan Rektor PJIM&A), Dr. Nazhatul Sahima Mohd Yusoff (Koordinator ICAN), Profesor Madya Dr. Marziana Madah Marzuki (Koordinator RMU), Puan Rabaatul Azira Hassan (Penyelaras Jaringan Alumni), Puan Shalwati Ramli (Penolong Pendaftar Kanan BPJIM&A) dan barisan pengurusan kanan UiTM Cawangan Kelantan serta Jawatankuasa Jelajah Alumni Berjaya UiTM Cawangan Kelantan.
Jelajah ketujuh dan terakhir bagi siri kali ini adalah ke Ayam Gepuk AG Cawangan Kubang Kerian, di mana Pengarah Urusan Syarikat iaitu Encik Afifi Ahmad merupakan alumni UiTM Cawangan Kelantan dalam bidang pengajian Kewangan pada tahun 2017. Perniagaan ini telah berkembang pesat dengan 14 cawangan di negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu dan Pahang. Perbincangan bersama pihak pengurusan Ayam Gepuk AG menekankan aspek pengurusan perniagaan makanan dan minuman (F&B), strategi pemasaran serta cabaran dalam membina jenama yang kukuh. Dengan slogan “Rasai Kepedasan di Setiap Suapan” telah menjadikan Ayam Gepuk AG sebagai salah sebuah jenama menu Ayam Gepuk yang dikenali ramai dan makin berkembang di seluruh Malaysia. Menurut Encik Afifi Ahmad, usaha untuk mengembangkan cawangan Ayam Gepuk AG di seluruh negeri adalah untuk memberi ruang kepada semua peminat Ayam Gepuk untuk merasai kenikmatan jenama ini sebagai salah satu makanan kegemaran semua rakyat Malaysia.
Encik Afifi Ahmad menjelaskan bahawa hubungan kerjasama dua hala di antara UiTM Cawangan Kelantan dengan Ayam Gepuk AG dalam bidang keusahawanan dan penyelidikan bakal melahirkan graduan yang lebih berdaya saing bagi yang berminat dalam industri makanan dan minuman. Selain itu, kerjasama ini juga turut membuka peluang untuk pelajar UiTM menjalani latihan industri serta menyediakan pasaran pekerjaan buat graduan, sekaligus mengurangkan kadar pengangguran. Perkongsian kepakaran oleh warga akademik dalam pelbagai bidang seperti pengurusan penyelidikan dan pembangunan produk baru dan peningkatan kualiti produk makanan turut dibincangkan. Tidak ketinggalan jalinan kerjasama turut memfokuskan kepada peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di UiTM buat alumni dan pekerja-pekerja di Ayam Gepuk AG yang ingin menyambung pengajian mereka. Encik Afifi turut mencadangkan agar diadakan program Mentor-Mentee keusahawanan pelajar. Mentor terdiri dari usahawan alumni-alumni berjaya UiTM Cawangan Kelantan, manakala Mentee pula adalah kelab-kelab dan persatuan dalaman pelajar UiTM Cawangan Kelantan. Melalui konsep ‘Seorang Alumni Satu Persatuan’, diharapkan dapat melahirkan usahawan jutawan bumiputera dari UiTM yang dapat bersaing di peringkat kebangsaan mahupun peringkat antarabangsa. Program perkongsian kepakaran di antara alumni usahawan berjaya bersama warga UiTM seperti ini adalah salah satu sumbangan dan bakti yang dapat dicurahkan oleh alumni kepada universiti yang telah menjadikan mereka sebuah generasi yang berdaya saing. Semoga jalinan kerjasama ini akan terus melakar kecemerlangan buat kedua - dua organisasi ini dalam bersama-sama memberi faedah kepada warga universiti dan masyarakat.
Penyedia Laporan:
Dr. Nazhatul Sahima Mohd Yusoff
Koordinator ICAN
Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni
UiTM Cawangan Kelantan