KOTA BHARU, 23 Februari - UiTM Cawangan Kelantan melalui Unit ICAN Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni (BPJIM&A) dengan kerjasama Pusat Jaringan Alumni (ANC) telah menganjurkan Jelajah Alumni 2025 sebagai inisiatif bagi mengeratkan hubungan antara institusi dan alumni yang telah berjaya dalam pelbagai industri. Program ini membuka ruang bagi UiTM untuk menjalin kerjasama dengan alumni serta meneroka peluang baru dalam pembangunan akademik dan keusahawanan. Selain itu, program ini juga bertujuan mewujudkan peluang penempatan pelajar dan staf UiTM bagi latihan industri bersama syarikat alumni.
Kunjungan hormat ini diketuai oleh delegasi UiTM Shah Alam yang terdiri daripada Profesor TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah (Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni, ICAN), Profesor Madya Datin Sri Dr. Nazura Mohamed Sayuti (Pengarah Pusat Jalinan Alumni) dan Encik Muhamad Luthfi Mohaini (Ketua Jaringan Alumni UiTM). Manakala delegasi UiTM Cawangan Kelantan pula terdiri daripada Profesor Dr. Mohd Afandi Mat Rani (Rektor), Dr. Norzieha Mustapha (Timbalan Rektor PJIM&A), Dr. Nazhatul Sahima Mohd Yusoff (Koordinator ICAN), Profesor Madya Dr. Marziana Madah Marzuki (Koordinator RMU), Puan Rabaatul Azira Hassan (Penyelaras Jaringan Alumni), Puan Shalwati Ramli (Penolong Pendaftar Kanan BPJIM&A) dan barisan pengurusan kanan UiTM Cawangan Kelantan serta Jawatankuasa Jelajah Alumni Berjaya UiTM Cawangan Kelantan.
Jelajah kelima diteruskan ke The Layers Cawangan SUK, sebuah jenama terkenal dalam industri kek dan pastri premium. The Layers dikenali dengan pastri dan pencuci mulut premium, di mana setiap produk dihasilkan menggunakan bahan-bahan terbaik. Selain pencuci mulut, The Layers turut menawarkan kek yang menggabungkan hidangan dari Asia ke Barat, bersama kopi segar dan minuman sejuk. Dimiliki oleh Encik Ahmad Faris Ramli, alumni UiTM Cawangan Kelantan yang memulakan perniagaan ini semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). The Layers telah meraih pengiktirafan sebagai salah satu jenama terkemuka dalam industri makanan premium. Perbincangan bersama pihak The Layers memberi fokus kepada bagaimana strategi pemasaran digital dan pengurusan perniagaan yang berkesan dapat membantu mereka mengatasi cabaran dalam industri makanan premium.
Melalui lawatan tersebut, hubungan kerjasama dua hala antara UiTM Cawangan Kelantan dengan The Layers turut dibincangkan dalam bidang keusahawanan, penyelidikan serta pembangunan bakat bagi melahirkan graduan yang lebih berdaya saing dalam industri makanan dan minuman. Selain itu, kerjasama ini juga turut membuka peluang untuk pelajar UiTM menjalani latihan industri serta menyediakan pasaran pekerjaan buat graduan, sekaligus mengurangkan kadar pengangguran. Perkongsian kepakaran oleh warga akademik dalam pelbagai bidang seperti pengurusan penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk baru, peningkatan kualiti produk makanan, pengurusan halal dan lain-lain lagi turut dibincangkan. Tidak ketinggalan jalinan kerjasama turut memfokuskan kepada program khidmat masyarakat yang akan melibatkan UiTM dan alumni dalam menaburkan sumbangan berkongsi ilmu kepakaran dalam pelbagai bidang yang dapat membantu dalam meningkatkan sosio-ekonomi komuniti setempat.
Semoga jalinan kerjasama yang bakal dimeterai ini akan terus melakar kecemerlangan buat kedua-dua organisasi ini sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Penyedia Laporan:
Dr. Nazhatul Sahima Mohd Yusoff
Koordinator ICAN
Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni
UiTM Cawangan Kelantan