Program Memperkasa Hubungan: Jelajah Alumni Berjaya UiTM Cawangan Kelantan Puan Azlinda Nordin (Pengarah Urusan Nordin Batik Sdn. Bhd.)

KOTA BHARU, 23 Februari - Jelajah keempat bagi Program Memperkasa Hubungan Jelajah Alumni Berjaya UiTM Cawangan Kelantan diteruskan ke Nordin Batik Sdn. Bhd., sebuah syarikat bumiputera yang menjalankan perusahaan batik di negeri Kelantan. Syarikat ini ditubuhkan pada 1993 di bawah naungan arwah Tuan Haji Nordin Mahmood dan kini legasinya  diteruskan oleh anak sulung beliau iaitu Puan Azlinda Nordin yang merupakan salah seorang alumni UiTM Cawangan Kelantan dalam bidang batik & tekstil. Nordin Batik Sdn. Bhd. menjadi salah sebuah syarikat terulung di negeri Kelantan dengan kewujudan Wisma Nordin Batik yang terletak di Lot 74, Kampung Paloh Pintu Geng, Kota Bharu, Kelantan. Di bangunan Wisma Nordin Batik ini juga terletaknya pusat galeri Showroom Nordin Batik yang merupakan sebuah pusat jualan kraftangan yang pertama seumpamanya di bandar Kota Bharu. 

Delegasi UiTM Cawangan Kelantan melalui Unit ICAN Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni (BPJIM&A) dengan kerjasama Pusat Jaringan Alumni (ANC) diketuai oleh Profesor TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah (Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni, ICAN), Profesor Madya Datin Sri Dr. Nazura Mohamed Sayuti (Pengarah Pusat Jalinan Alumni) dan Encik Muhamad Luthfi Mohaini (Ketua Jaringan Alumni UiTM). Manakala delegasi UiTM Cawangan Kelantan pula terdiri daripada Profesor Dr. Mohd Afandi Mat Rani (Rektor), Dr. Norzieha Mustapha (Timbalan Rektor PJIM&A), Dr. Nazhatul Sahima Mohd Yusoff (Koordinator ICAN), Profesor Madya Dr. Marziana Madah Marzuki (Koordinator RMU), Puan Rabaatul Azira Hassan (Penyelaras Jaringan Alumni), Puan Shalwati Ramli (Penolong Pendaftar Kanan BPJIM&A) dan barisan pengurusan kanan UiTM Cawangan Kelantan serta Jawatankuasa Jelajah Alumni Berjaya UiTM Cawangan Kelantan.

Melalui lawatan ini, pihak pengurusan UiTM turut diberi peluang untuk mencanting batik serta diperkenalkan dengan pelbagai jenis batik yang dihasilkan di syarikat ini. Selain itu, pihak Nordin Batik Sdn. Bhd. turut berkongsi maklumat mengenai kepelbagaian rekaan batik yang dihasilkan serta teknik yang digunakan dalam penghasilan batik eksklusif. Mereka juga turut menekankan kepentingan pemasaran digital, khususnya melalui platform seperti TikTok Live, yang terbukti berkesan dalam meningkatkan jualan kerana menawarkan harga lebih murah berbanding jualan secara 'walk-in'. Strategi pemasaran ini telah membantu mereka menjangkau capaian pelanggan yang lebih luas dan meningkatkan keuntungan syarikat secara signifikan.

Melalui pertemuan ini juga pelbagai perkara turut dibincangkan termasuk jalinan kerjasama antara pihak Nordin Batik Sdn. Bhd. dan pihak UiTM dengan menyediakan peluang latihan praktikal pelajar dan staf, menyediakan kepakaran pensyarah dalam bidang batik dan tekstil serta kepakaran dalam bidang pemasaran secara atas talian. Pemasaran digital kini menjadi elemen penting dalam memastikan jenama mereka dapat bersaing di pasaran yang lebih luas dan menjangkau lebih ramai pelanggan secara efektif.

Penyedia Laporan:
Dr. Nazhatul Sahima Mohd Yusoff
Koordinator ICAN
Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni
UiTM Cawangan Kelantan