Program Memperkasa Hubungan: Jelajah Alumni Berjaya UiTM Cawangan Kelantan Encik Mohd Badrul Insan Kauzi (Naib Presiden Nasken Coffee)

KOTA BHARU, 23 Februari - UiTM Cawangan Kelantan melalui Unit ICAN Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni (BPJIM&A) dengan kerjasama Pusat Jaringan Alumni (ANC) telah menganjurkan Jelajah Alumni 2025 sebagai inisiatif bagi mengeratkan hubungan antara institusi dan alumni yang telah berjaya dalam pelbagai industri. Program ini membuka ruang bagi UiTM untuk menjalin kerjasama dengan alumni serta meneroka peluang baharu dalam pembangunan akademik dan keusahawanan. Selain itu, program ini bertujuan untuk mewujudkan peluang penempatan pelajar dan staf UiTM bagi latihan industri bersama syarikat alumni.

Kunjungan hormat ini diketuai oleh delegasi UiTM Shah Alam yang terdiri daripada Profesor TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah (Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni, ICAN), Profesor Madya Datin Sri Dr. Nazura Mohamed Sayuti (Pengarah Pusat Jalinan Alumni) dan Encik Muhamad Luthfi Mohaini (Ketua Jaringan Alumni UiTM). Manakala delegasi UiTM Cawangan Kelantan pula terdiri daripada Profesor Dr. Mohd Afandi Mat Rani (Rektor), Dr. Norzieha Mustapha (Timbalan Rektor PJIM&A), Dr. Nazhatul Sahima Mohd Yusoff (Koordinator ICAN), Profesor Madya Dr. Marziana Madah Marzuki (Koordinator RMU), Puan Rabaatul Azira Hassan (Penyelaras Jaringan Alumni), Puan Shalwati Ramli (Penolong Pendaftar Kanan BPJIM&A) dan barisan pengurusan kanan UiTM Cawangan Kelantan serta jawatankuasa Jelajah Alumni Berjaya UiTM Cawangan Kelantan.

Jelajah ini bermula dengan lawatan pertama pada 9 Februari 2025 ke Nasken Coffee Cawangan Pasir Tumboh yang mana Naib Presidennya iaitu Encik Mohd Badrul Insan Kauzi merupakan alumni UiTM Cawangan Kelantan dalam bidang Pemasaran pada tahun 2016. Perniagaan ini telah berkembang pesat dengan lebih 36 cawangan di seluruh Malaysia. Perbincangan bersama pihak pengurusan Nasken Coffee menekankan aspek pengurusan perniagaan makanan dan minuman (F&B), strategi pemasaran serta cabaran dalam membina jenama yang kukuh. Untuk pengetahuan umum, Nasken Coffee adalah sebuah kafe bertemakan ‘hipster’ yang diasaskan oleh sekumpulan anak muda dari Kelantan pada tahun 2019. Dengan slogan “Start your day with a cup of Nasken Coffee", kafe ini merupakan sebuah kafe pilihan nombor satu di Pantai Timur.

Encik Mohd Badrul Insan Kauzi (Naib Presiden Nasken Coffee) yang merupakan alumni UiTM Cawangan Kelantan menjelaskan bahawa hubungan kerjasama dua hala antara UiTM Cawangan Kelantan dengan Nasken Coffee dalam bidang keusahawanan, penyelidikan serta pembangunan bakat adalah bagi melahirkan graduan yang lebih berdaya saing dalam industri makanan dan minuman. Selain itu, kerjasama ini membuka peluang untuk pelajar UiTM menjalani latihan industri serta menyediakan pasaran pekerjaan buat graduan, sekaligus mengurangkan kadar pengangguran. Perkongsian kepakaran oleh warga akademik dalam pelbagai bidang seperti pengurusan penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk baharu, peningkatan kualiti produk makanan, pengurusan akaun syarikat, pengurusan khidmat pelanggan dan lain-lain lagi turut dibincangkan. Tidak ketinggalan jalinan kerjasama turut memfokuskan kepada peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di UiTM buat alumni dan pekerja-pekerja di Nasken Coffee yang ingin menyambung pengajian mereka. Semoga jalinan kerjasama ini akan terus melakar kecemerlangan buat kedua-dua organisasi ini sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

Penyedia Laporan:
Dr. Nazhatul Sahima Mohd Yusoff
Koordinator ICAN
Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni
UiTM Cawangan Kelantan