'Walk & Smile: Brisk Walk With TRHEA'

MACHANG, 23 Februari - Bahagian Hal Ehwal Akademik UiTM Cawangan Kelantan telah mengadakan program Walk & Smile: Brisk Walk with TRHEA yang bermula pukul 8:30 pagi pada 16 Februari 2025 (Ahad). Program ini diadakan dengan tujuan utama bagi mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan warga Bahagian Hal Ehwal Akademik. Program ini disertai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Nasir Ismail, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Ketua-Ketua Pusat Pengajian, Ketua Unit Pengurusan Akademik, pensyarah dan staf Bahagian Hal Ehwal Akademik.

Selain memberi tumpuan kepada manfaat kesihatan fizikal, program ini juga bertujuan untuk mencipta peluang bagi peserta berinteraksi dalam suasana yang lebih santai dan menyenangkan. Dengan aktiviti berjalan kaki di sekitar kampus yang segar dan tenang, peserta dapat menikmati keindahan alam semula jadi sambil melepaskan tekanan kerja. Aktiviti ini bukan sahaja memberi kesihatan tubuh badan tetapi juga berperanan sebagai platform untuk mengeratkan hubungan sosial antara staf dan pensyarah.

Melalui program ini, diharapkan para peserta dapat menghayati kepentingan aktiviti fizikal dalam kehidupan harian dan menggalakkan mereka untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih aktif. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan mental, di mana aktiviti fizikal dapat membantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan kualiti kehidupan. Program Walk & Smile ini akan dilaksanakan dua (2) kali sebulan pada setiap hari Ahad, dengan harapan dapat menjadi amalan berterusan dalam kalangan warga Bahagian Hal Ehwal Akademik demi kesihatan dan kesejahteraan tubuh badan.

Penyedia Laporan:
Puan Ruslinda Razak
Penolong Pendaftar Kanan
Bahagian Hal Ehwal Akademik
UiTM Cawangan Kelantan