'Program International Risk Management Competition Challenge 3/2025'

MACHANG, 27 Januari - Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Semester 7 Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan (UiTMCK) telah berjaya menganjurkan Program International Risk Management Competition Challenge 3/2025 dengan tema ‘Sustainable Risk Innovation: New Challenges, New Solutions’. Program pada kali ini dijalankan dibawah tunjuk ajar para penasihat program iaitu Dr. Siti Haliza Asat, Dr. Nik Zam Nik Wan, Puan Rabaatul Azira Hassan, Puan Rosliza Bahari dan Puan Ros Amalina Zakaria. Untuk pengetahuan, program ini merupakan program tahunan yang dianjurkan khusus oleh mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Semester 7 dengan kerjasama Fakulti Perakaunan UiTMCK dengan kolaborasi antarabangsa bersama UNITAR International University Malaysia, Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) Indonesia, Universitas Pembangunan National ‘Veteran’ Jawa Timur (UPNVJT) Indonesia dan Cagayan State University (CSU) Philippines. Ini merupakan penglibatan kolaborasi universiti antarabangsa yang kali ke - 3 dimana setiap universiti yang terlibat telah menghantar wakil bagi semua kategori yang dipertandingkan. Program ini bertujuan untuk meningkatkan pemahaman mahasiswa tentang konsep dan amalan pengurusan risiko dalam dunia perniagaan global.

Program bermula dengan ucapan perasmian wakil-wakil dari UNITAR, UMSU, UPNVJT dan CSU, seterusnya dirasmikan oleh Dr. Nik Zam Nik Wan, Ketua Pusat Pengajian Fakulti Perakaunan, UiTMCK. Dalam sesi ucapan perasmian, Dr. Nik Zam menyatakan harapannya agar program sebegini dapat meningkatkan lagi keyakinan para pelajar dan dapat meningkatkan kemahiran bersaing mereka serta menggalakkan mereka menangani isu pengurusan risiko dengan cara yang menyeronokkan dan kreatif.

Program diteruskan dengan ‘Role Play Competition’ oleh semua universiti. Pertandingan ini memerlukan para pelajar menyiapkan satu video berdasarkan kajian kes yang diberikan 2 minggu sebelum pertandingan melalui platform Zoom bersama semua wakil pelajar dari setiap Universiti. Setelah video ditayangkan, peserta perlu melalui sesi soal jawab bersama dengan juri yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah dari UiTM, UNITAR, UMSU, UPNVJT dan CSU. Bagi memastikan ketelusan dalam penjurian, pihak penganjur memastikan peserta tidak dinilai oleh pensyarah dari universiti mereka sendiri. Selain itu, para pelajar juga diberi kesempatan untuk menyertai kuiz secara dalam talian di platform Quiz.com untuk menjawab soalan-soalan berkaitan dengan pengurusan risiko, dan 10 orang pemenang terawal menerima hadiah berbentuk wang tunai.

Pada sebelah petang, program diteruskan dengan ‘Creative Competition’, dimana semua pelajar menunjukkan bakat kreatif mereka dengan perlu membuat video mengikut kreativiti masing-masing. Dalam sesi ini, peserta telah mempamerkan bakat nyanyian dan menyampaikan sajak dengan tajuk pengurusan risiko.

Program diakhiri dengan sesi pengumuman pemenang pertandingan bagi kedua-dua kategori dan ucapan penutup dari semua wakil universiti sekitar jam 4:30 petang. Pihak penganjur amat menghargai sokongan yang telah diberikan oleh semua peserta dan universiti yang terlibat dalam pelaksanaan program pada tahun ini. Diharapkan program yang telah dianjurkan pada kali ini dapat memberikan pemahaman yang lebih mendalam mengenai subjek pengurusan risiko, dengan cara yang lebih menarik dan kreatif serta mengeratkan lagi hubungan kerjasama yang baik antara universiti yang terlibat.

Penyedia Laporan:
Saudari Arifah Aliyyah Shamsuddin
Ketua Biro Korporat Program
Program International Risk Management Challenge 03/2025