MACHANG, 23 Januari - Pada 8 Januari 2025, satu program SULAM 'Outreach Programs: IM 4 YOU' telah diadakan di Sekolah Menengah Sains Machang (SMACH), Machang, Kelantan. Program ini dianjurkan oleh pelajar semester akhir, Diploma Pengurusan Maklumat dari Pengajian Sains Maklumat (PSM), Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) dengan kerjasama Perpustakaan Tengku Anis (PTA) UiTMCK dan CelcomDigi Berhad.
Program ini melibatkan 30 orang pelajar Semester 5, Diploma Pengurusan Maklumat, PSM, KPPIM, UiTMCK, 1 orang penceramah jemputan iaitu Puan Nordelina Zulkarnain, Pustakawan Kanan (Unit Sumber Percetakan/ Sumber Elektronik) dari PTA, Pengetua SMACH, Tuan Hj. Muhammad Daud, 2 orang wakil guru SMACH serta 31 orang pelajar sekolah SMACH sebagai peserta program yang terdiri daripada kepimpinan pelajar Tingkatan 4. Selain daripada itu program juga dihadiri oleh 1 orang wakil CelcomDigi Bhd, Encik Erman Mohd Shahril, Puan Ts. Nurulannisa Abdullah, Koordinator Prasiswazah, Program Diploma Pengurusan Maklumat (CDIM110) UiTMCK, 2 orang pensyarah pengiring iaitu Puan Noor Azreen Alimin, selaku Penasihat ‘Outreach Programs: IM 4 YOU’ dan Puan Nik Nur Izzati Nik Rosli, Pensyarah Kanan selaku wakil pensyarah PSM, KPPIM.
Matlamat program ini diadakan adalah bertujuan untuk berkongsi kepakaran dan pengetahuan mahasiswa PSM kepada pelajar SMACH melalui sesi bicara santai iaitu ‘IM TALK: Get to know IM’, yang disampaikan oleh Pengarah Program, Saudari Nur Aleesya Aleeya Abdullah yang bertujuan untuk menarik minat pelajar dalam menceburi bidang PSM di UiTM sebagai perancangan bagi menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi selepas SPM.
Selain itu, program ini memfokuskan kepada asas Sistem Pengkelasan Buku di perpustakaan yang menggunakan pengkelasan ‘Dewey Decimal Classification’ (DDC) dan ‘Library of Congress Classification’ (LCC), disampaikan oleh Puan Nordelina Zulkarnain yang telah memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai proses pencarian buku dengan pantas, serta sesi perkongsian berkenaan ‘speed reading’ bertujuan untuk meningkatkan kemahiran membaca melalui teknik bacaan pantas dan cepat dengan menggunakan teknik dan kiraan yang betul untuk menjimatkan masa di samping dapat melatih para pelajar untuk lebih fokus. Program ini diakhiri dengan sesi permainan interaktif iaitu Kuiz Pemburuan Maklumat (Information Hunt) yang dibahagikan kepada enam hentian, merangkumi bidang PSM, iaitu bidang Pengurusan Perpustakaan, Pengurusan Rekod dan Pengurusan Sistem Maklumat. Setiap soalan yang disediakan juga berkait rapat dengan pengetahuan am di Malaysia.
Dengan terlaksananya program ini, diharapkan para pelajar mampu mengaplikasikan pengetahuan yang telah dikongsi pada masa akan datang dan sekaligus membuka peluang kepada pelajar sekolah untuk melihat potensi bidang Pengurusan Maklumat sebagai pilihan pendidikan dan kerjaya masa hadapan.
Penyedia Laporan:
Saudari Nurnazmina Rosli
Biro Protokol
Outreach Programs: IM 4 YOU