UiTM Cawangan Kelantan Sertai Program Santuni Madani di Kelantan

MACHANG, 20 Januari - Unit Misi Akademik, Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan (UiTMCK) telah mengambil bahagian bagi mengadakan pameran di  Program Santuni Madani Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang telah  berlangsung pada 18 Januari 2025, Sabtu yang lalu bertempat di SMU(A) Diniah Permatang Rambai, Pasir Puteh, Kelantan.

Program ini dianjurkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan objektif meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian kepada masyarakat dan komuniti  setempat. Pameran yang diadakan akan mengetengahkan peranan agensi dalam mendekati kumpulan sasar dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap fungsi institusi terlibat.

UiTM Cawangan Kelantan amat berbangga untuk turut serta dalam pameran ini di mana pelbagai maklumat berkaitan universiti dan peluang pengajian yang ditawarkan telah dikongsikan kepada para pengunjung. Dalam program tersebut, 2 orang Pensyarah Akademi Pengajian Bahasa UiTMCK, Encik Wan Muhammad Fitri Wan Amir Nizam dan Encik Iz 'an Rosmani bertindak selaku perunding akademik dalam mempromosikan UiTM kepada orang ramai serta menyampaikan maklumat penting berkaitan permohonan ke UiTM. Selain itu. Prof. Dr . Mohd Afandi Mat Rani, yang merupakan pensyarah ACIS UiTM juga telah dijemput sebagai penceramah bagi Slot Bersama UiTM: Peluang dan Ruang di UiTM. Encik Meer Zhar Farouk Amir Razli, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar turut hadir mewakili pihak pengurusan kanan UiTMCK ke program ini.

Aktiviti seperti ini selaras dengan visi universiti untuk memperkasakan peranan sosial dalam kalangan masyarakat. Bersama kita raikan Program Santuni Madani dengan semangat yang tinggi bagi memupuk perpaduan dan kesedaran komuniti demi kebaikan masyarakat dan negara Malaysia.

Penyedia Pelaporan:
Puan Norhafizan Awang
Penyelaras Unit Misi Akademik
UiTM Cawangan Kelantan