‘Empower Creativity: Canva & Microsoft for Beginners (Tips & Tricks)’

PASIR PUTEH, 14 Januari – Program ‘Empower Creativity: Canva & Microsoft for Beginners (Tips & Tricks)’ anjuran pelajar semester akhir Diploma Pengurusan Maklumat UiTM Cawangan Kelantan dengan kerjasama American Corner Kelantan, UMK Kampus Bachok & SMK Cherang Ruku telah diadakan dengan jayanya di SMK Cherang Ruku pada 5 Januari 2025. Program ini disertai seramai 25 orang pelajar semester akhir Diploma Pengurusan Maklumat serta 4 orang pensyarah pengiring iaitu Dr. Suriana Alias (Ketua Pusat Pengajian KPPIM), Puan Ts. Nurulannisa Abdullah (Ketua Program Diploma Pengurusan Maklumat KPPIM), Encik Ts. Mohd Zafian Mohd Zawawi (Pensyarah Kanan Pengurusan Sains Maklumat KPPIM) dan Puan Noor Azreen Alimin Penasihat ‘Outreach Program ‘Empower Creativity: Canva & Microsoft For Beginners (Tips & Tricks)’. Manakala penglibatan daripada pihak sekolah pula terdiri daripada 7 orang wakil guru dan 50 orang pelajar tingkatan 3 & 4 dari SMK Cherang Ruku, Pasir Puteh.

Program ini adalah sebuah inisiatif berkonsepkan “Akademik dan Ilmiah” yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang penggunaan asas aplikasi Canva. Melalui program ini, pelajar akan mempelajari kemahiran reka bentuk grafik asas yang dapat membantu mereka menghasilkan bahan visual menarik untuk kegunaan akademik, seperti poster, slaid pembentangan, dan grafik untuk media sosial. Program ini memfokuskan beberapa aspek penting, termasuk penerokaan antaramuka Canva dan alat-alat asas, penggunaan templat sedia ada serta penyesuaian elemen reka bentuk mengikut keperluan, dan integrasi teks, gambar, ikon, serta grafik untuk menghasilkan visual yang efektif. Dengan pendedahan ini, diharapkan pelajar akan mampu mengaplikasikan kemahiran reka bentuk asas ini bagi meningkatkan kualiti pembentangan akademik, projek kreatif, serta mampu menjadi fasilitator berkesan dalam kalangan komuniti.

Di samping itu, program ini juga melibatkan pengajaran asas penggunaan Microsoft Word dalam menyelesaikan tugasan akademik. Pelajar akan didedahkan dengan kemahiran penting dalam Microsoft Word yang membolehkan mereka menghasilkan dokumen akademik yang kemas dan profesional. Antara topik yang diajar termasuk format teks, penyusunan dan penataan halaman, penggunaan gaya teks, serta ciri-ciri tambahan seperti penyusunan jadual, grafik, dan carta yang boleh dimasukkan ke dalam dokumen. Pelajar juga mempelajari teknik-teknik asas seperti menggunakan fungsi penomboran automatik, header dan footer, serta pengurusan bibliografi yang penting dalam penyediaan tugasan bertulis.

Melalui program ini, pelajar UiTM juga dilatih untuk menjadi fasilitator dalam membantu golongan muda menguasai kedua-dua aplikasi ini. Dengan kemahiran yang diperoleh, mereka akan lebih bersedia untuk memberi bimbingan kepada rakan sebaya dan komuniti dalam menghasilkan bahan akademik dan kreatif yang menarik serta berkualiti.

Secara keseluruhannya, Program ‘Empower Creativity: Canva & Microsoft for Beginners (Tips & Tricks)’ yang telah dianjurkan di SMK Cherang Ruku mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan daripada para peserta. Program ini bukan sahaja berjaya memberi motivasi kepada pelajar, tetapi turut membuka ruang untuk mereka mempelajari sesuatu yang baharu. Justeru itu, program ini telah memberikan impak yang positif kepada pelajar semester akhir Diploma Pengurusan Maklumat UiTM dan pelajar SMK Cherang Ruku terutamanya dalam membina jalinan kerjasama antara UiTM Cawangan Kelantan dan SMK Cherang Ruku seterusnya memberi pemahaman yang lebih meluas kepada pelajar mengenai reka bentuk kreatif menggunakan Canva dan Microsoft Word.

Penyedia Laporan:
Saudari Nur Kamilia Azima Khairul Anuar
Biro Korporat
Program Empower Creativity: Canva & Microsoft for Beginners (Tips & Tricks)