MACHANG, 14 Januari – Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan dengan kerjasama MARA University of Technology Accountancy Society (MUTAC), Members of Bachelor in Accountancy Society (MemBACCs), dan Unit Kerjaya dan Kaunseling UiTMCK, telah berjaya menganjurkan program ‘Navigating Your Accounting Journey with Faculty of Accountancy 2.0’ bertempat di AUD300, UiTM Cawangan Kelantan pada 3 & 4 Januari 2025. Program ini bertujuan untuk memperkenalkan Fakulti Perakaunan kepada mahasiswa baharu Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (AC220) dan Diploma Perakaunan (AC110) bagi kemasukan sesi Oktober 2024 - Februari 2025.
Program telah dirasmikan oleh Dr. Nik Zam Nik Wan selaku Ketua Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan. Program ini melibatkan penyertaan seramai 311 orang peserta, terdiri daripada 120 orang mahasiswa baharu AC220, 152 orang mahasiswa baharu AC110, 28 orang jawatankuasa program, serta penasihat persatuan, penceramah jemputan, dan tetamu kehormat.
Program dimulakan dengan slot ceramah yang informatif. Pensyarah perakaunan, iaitu Cik Siti Nor Adawiah Hussin, Dr. Nor Hayati Samba Mohamed, dan Puan Raabatul Azira Hassan, memberikan ceramah berkaitan pengurusan masa, motivasi diri dan imej profesional seorang akauntan. Selain itu, Puan Zainab ‘Izzah Mahmud dari Unit Kerjaya dan Kaunseling menyampaikan ceramah berkaitan sokongan emosi, psikologi, dan cara menangani tekanan diri kepada mahasiswa baharu. Program ini turut menjemput Ketua Pusat Pengajian dan Penyelaras Program untuk memberikan penerangan berkenaan pelan pengajian dan kod kursus bagi program Ijazah Sarjana Muda dan Diploma Perakaunan.
Program pada kali ini tidak hanya membantu mahasiswa memahami struktur pengajian mereka, malah bertujuan untuk memupuk semangat kepimpinan, pengurusan masa yang efektif, serta membentuk individu yang berdaya saing. Aktiviti ini juga menyokong pembangunan sahsiah mahasiswa agar mereka lebih bersedia menghadapi cabaran akademik dan profesional.
Program ‘Navigating Your Accounting Journey with Faculty of Accountancy 2.0’, yang berlangsung dengan jayanya ini akan menjadi acara tahunan dalam menyokong mahasiswa Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan dalam perjalanan akademik mereka sepanjang berada di UiTM. Semoga nilai tambah positif yang dikecapi membawa kepada penghasilan graduan yang berkualiti dan bernilai tinggi.
Penyedia Laporan:
Saudari Yasmin Umairah Zaini Zam
Pengarah Program
Navigating Your Accounting Journey with Faculty of Accountancy 2.0