'Program Community Service: Community Support for Children’

BACHOK, 16 Januari - Pada 4 Januari 2025, satu program khidmat masyarakat ‘Program Community Service: Community Support for Children’  telah diadakan di Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Dhufa’ Darul Mizan, Bachok, Kelantan. Program ini dianjurkan oleh kelab pelajar Society of Information System Management (SISMA) dengan kerjasama Pengajian Sains Maklumat, Perpustakaan Tengku Anis UiTM Cawangan Kelantan serta Universitas Airlangga, Indonesia. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk memberi sokongan sosial dan moral kepada anak-anak yatim di rumah kebajikan tersebut.

Program ini melibatkan 35 orang anak yatim yang berumur antara 5 hingga 16 tahun dan turut disertai oleh 31 orang pelajar dan 9 orang pensyarah. Antara aktiviti yang dijalankan adalah senamrobik, sukaneka, aktiviti bercerita, penyediaan sudut bacaan dan perpustakaan mini, serta beberapa aktiviti indoor seperti permainan silang kata, cari perkataan, dan charades.

Pihak penganjur turut menyumbang alat tulis kepada anak-anak yatim di rumah kebajikan tersebut. Sumbangan ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada anak-anak yatim dalam proses pembelajaran mereka. Program ini juga tidak dapat dilaksanakan tanpa sokongan daripada para penaja seperti Digit360, The Layers, Bookcafe, dan beberapa individu yang memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini. Dengan sokongan yang diberikan oleh para penaja, program ini dapat berlangsung dengan jayanya dan telah memberi impak yang besar kepada anak-anak yatim serta peserta yang terlibat.

Pihak penganjur ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat penaja-penaja yang telah memberikan bantuan yang amat bermakna. Semoga program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan akan memberi lebih banyak manfaat kepada masyarakat.

Penyedia Laporan:
Cik Nur Ainatul Mardiah Mat Nawi
Penasihat Program
Program Community Service: Community Support for Children