Program Kongsi Kasih 2.0 Anjuran Jawatankuasa Perwakilan Kolej Tun Hussein Onn dengan Kerjasama Kelab Intellectual Members of Muslim Nation (IMAN)

PENGKALAN CHEPA, 1 Disember – Jawatankuasa Perwakilan Kolej Tun Hussein Onn dengan kerjasama Kelab Intellectual Members of Muslim Nation (IMAN) telah berjaya menganjurkan program Kongsi Kasih 2.0 di Rumah Seri Kenangan, Pengkalan Chepa, Kelantan pada 6 Januari 2024. Program ini telah berlangsung dari jam 8:30 pagi hingga 1:45 tengah hari.

Matlamat program ini adalah untuk memberikan peluang kepada mahasiswa untuk beramah mesra dengan penghuni warga emas di Rumah Seri Kenangan. Mahasiswa juga dapat mempraktikkan kemahiran komunikasi dalam suasana yang mencabar, sekali gus menanam rasa kasih sayang terhadap warga emas. Selain itu, program ini berjaya membentuk mahasiswa yang bertanggungjawab terhadap masyarakat serta menyemai kesedaran dan keinsafan untuk sentiasa menghormati ibu bapa dan orang tua.

Kunjungan kami ke Rumah Seri Kenangan Taman Kemumin telah disambut mesra oleh Puan Salihah Kamarudin selaku Penguasa Rumah Seri Kenangan, bersama Puan Noor Suhaira Ya’acob, Pembantu Pembangunan Masyarakat di rumah tersebut. Turut mengiringi lawatan ini ialah Encik Muhammad Faiz Iskandah, Staf Residen Kolej Tun Hussein Onn yang juga merupakan Penasihat Program Kongsi Kasih, serta Dr. Mohd Khusyairie Marzuki, Penasihat Kelab Intellectual Members of Muslim Nation (IMAN). Lawatan ini turut disertai oleh Saudari Nur Aleeya Maisara Azizuddin, Presiden Jawatankuasa Perwakilan Kolej Tun Hussein Onn sesi 2022/2023, dan Saudara Tengku Ahmad Danial Tengku Noor Ashraf, Presiden Kelab Intellectual Members of Muslim Nation (IMAN) sesi 2022/2023.

Program ini telah menerima maklum balas yang amat positif daripada Puan Salihah Kamarudin, Penguasa Rumah Seri Kenangan, yang menyatakan penghargaan beliau atas keprihatinan dan usaha mahasiswa dalam menganjurkan aktiviti yang membawa keceriaan kepada penghuni rumah tersebut. Beliau turut menekankan betapa pentingnya inisiatif seperti ini dalam membina hubungan erat antara generasi muda dan warga emas, selain menyemai nilai kasih sayang dan hormat kepada golongan tua.

Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja berjaya mencapai objektif yang telah dirancang, malah meninggalkan impak yang mendalam kepada semua pihak yang terlibat. Mahasiswa bukan sahaja dapat mempraktikkan nilai-nilai murni, tetapi juga menerima pengalaman berharga yang mampu membentuk jati diri mereka sebagai insan yang bertanggungjawab terhadap masyarakat. Dengan kejayaan ini, diharapkan lebih banyak program seumpama ini dapat dijalankan pada masa hadapan demi memperkukuh nilai kemanusiaan dan kesejahteraan bersama.

Penyedia Laporan:
Saudara Naimi Adriana Muhammad Maulana
Pengarah Program
Kongsi Kasih 2.0