KUALA KRAI, 29 Oktober - Jabatan Seni Reka Grafik & Media Digital serta Jabatan Seni Halus dari Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) dengan kerjasama Unit Jaringan Komuniti, Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri & Alumni (PJIA) UiTM Cawangan Kelantan telah mengadakan aktiviti mural di Sekolah Kebangsaan Kampong Tengah, Kuala Krai. Program ini diadakan selama 2 hari iaitu pada 15 Oktober dan 17 Oktober 2024. Seramai 5 orang pensyarah pengiring dan 16 orang pelajar dari Jabatan Seni Reka Grafik dan Media Digital serta Jabatan Seni Halus UiTMCK telah bertungkus lumus menyiapkan lukisan mural pada dinding utama sekolah.
Aktiviti ini diadakan untuk mewujudkan hubungan dua hala yang baik antara pihak Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) serta Unit Jaringan Komuniti, Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri & Alumni (PJIA) UiTMCK dengan pihak SK Kampong Tengah, Kuala Krai. Program mural ini dapat memberi pendedahan awal dalam kalangan murid sekolah mengenai seni dan secara tidak langsung dapat menarik minat mereka untuk menerokai bidang seni visual. Sebanyak 2 panel dinding utama sekolah telah berjaya dijadikan hasil karya seni mural dengan tema STEM (Science, Technology and Mathematics).
Perkongsian teknik, pengalaman dan pengetahuan seni berjaya memupuk minat dan menarik perhatian murid-murid sekolah untuk lebih menghargai hasil seni apabila mereka diberi peluang untuk berkarya bersama-sama peserta dari UiTM. Pendedahan seperti ini juga dapat merapatkan ukhuwah antara pihak sekolah, pihak UiTM dan masyarakat setempat.
Hasil lukisan mural yang ceria berupaya menjadikan warga sekolah lebih seronok dan mengurangkan tekanan mereka ketika berada di sekolah. Secara amnya, program sebegini telah memberikan pendedahan dan pengalaman berkaitan aktiviti bermasyarakat kepada pelajar sekolah dan mahasiswa UiTM.
Penyedia Laporan:
Dr. Noorlida Daud
Penyelaras Unit Jaringan Komuniti
Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri & Alumni