KOTA BHARU, 29 Oktober - Jabatan Seni Reka Grafik & Media Digital serta Jabatan Seni Halus dari Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) dengan kerjasama Unit Jaringan Komuniti, Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri & Alumni (PJIA) UiTM Cawangan Kelantan telah mengadakan aktiviti mural di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu. Tujuan program ini adalah untuk menceriakan ruang dinding dan laluan di Klinik Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja di HRPZII. Program ini diadakan selama 2 hari bermula pada 30 Julai hingga 31 Julai 2024. Seramai 4 orang pensyarah dan 2 orang alumni Jabatan Seni Halus UiTM Cawangan Kelantan serta beberapa orang staf HRPZII turut membantu dalam menyiapkan lukisan mural di dinding laluan klinik.
Dari segi psikologi, pesakit kanak-kanak yang mendapatkan rawatan di klinik psikiatri mungkin berasa kurang selesa dengan persekitaran yang formal. Untuk mewujudkan persekitaran yang lebih mesra kanak-kanak, pihak hospital mengambil pendekatan untuk bekerjasama dengan UiTM bagi menghasilkan lukisan mural di sepanjang laluan klinik serta bilik terapi. Mural yang ceria dengan bertemakan flora dan fauna dapat memberi kesan positif kepada emosi pesakit dan mencipta persekitaran yang lebih mesra untuk pesakit mahupun staf hospital.
Pesakit dan warga hospital menunjukkan keterujaan terhadap persekitaran hospital yang kini lebih berwarna-warni, berbanding dinding kosong berwarna putih sebelumnya. Sebanyak 3 panel dinding hospital dan 1 laluan bilik rawatan telah berjaya disiapkan dengan bertemakan alam semulajadi dan juga haiwan purba (dinosaur).
Hasil mural yang ceria ini bukan sahaja mencetuskan emosi positif bagi pesakit dan warga hospital, tetapi juga meningkatkan motivasi serta membantu mengurangkan tekanan mereka sepanjang berada di hospital. Program sebegini juga memberi peluang kepada pensyarah dan alumni UiTM melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan.
Penyedia Laporan:
Dr. Noorlida Daud
Penyelaras Unit Jaringan Komuniti
Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri & Alumni