MACHANG, 29 Oktober - Uptown merupakan program mingguan yang dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2023/2024. Program ini diadakan setiap hari Isnin di lot parkir kenderaan Kompleks Sukan UiTM Cawangan Kelantan. Program ini berlangsung dari jam 5:00 petang hingga jam 10:00 malam. Objektif utama Uptown adalah untuk memberi kemudahan kepada pelajar mendapatkan pelbagai jenis makanan dengan harga berpatutan, sekali gus menjana ekonomi pelajar dan masyarakat setempat.
Melalui program ini, pelajar bukan sahaja menikmati pelbagai hidangan, tetapi juga berpeluang bersosial dalam suasana ceria dan santai. Aktiviti membantu meningkatkan serotonin, mencipta pengalaman positif, serta mengeratkan silaturrahim dalam kalangan pelajar. Dalam era yang penuh cabaran ini, suasana komuniti yang diwujudkan oleh Uptown membantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan kualiti hidup pelajar.
Majlis Perwakilan Pelajar menjadikan Uptown sebagai program tetap setiap semester untuk memenuhi keperluan pelajar. Pada sesi kali ini, sebanyak 40 gerai jualan turut serta menawarkan pelbagai jenis makanan seperti makanan bergoreng, minuman, nasi berlauk, serta makanan ringan. Kemeriahan kampus pada setiap hari Isnin membuktikan bahawa program ini mendapat sambutan hangat daripada pelajar.
Sejak dilancarkan pada 14 Oktober lalu, Uptown menunjukkan perkembangan yang positif. Program ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi makanan tetapi juga berjaya mengumpul kutipan yang menguntungkan. Program ini berfungsi sebagai platform untuk memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar. Melalui penyertaan gerai jualan seperti car boot sale, pelajar berpeluang menceburi bidang perniagaan dan memperluaskan pengetahuan dalam bidang keusahawanan.
Penyedia Laporan:
Biro Dokumentasi Uptown
Majlis Perwakilan Pelajar
Sesi 2023/2024