Pertandingan Inovasi, 'International 3-Minute Business Idea Pitching & Innovation Competition'

MACHANG, 22 Oktober - Pertandingan inovasi, International 3-Minute Business Idea Pitching & Innovation Competition (3 MPIC) 2024 telah berlangsung dengan jayanya dari 1 Mei hingga 15 Oktober 2024. Acara untuk kali ketiga (3) ini adalah anjuran Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Kelantan dan julung kalinya berkolaborasi antara Universitas Islam Sultan Agung (UNISSULA) dan Universitas Muhammadiyah Aceh (UNM AW), Indonesia. Tujuan pertandingan ini adalah untuk memupuk budaya inovasi dan kreatif dalam kalangan pelajar dan pensyarah institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia dan luar negara bagi mengiktiraf pelajar yang mempunyai idea, rekaan, serta ciptaan terbaru.

Upacara perasmian dan pengumuman pemenang berlangsung pada 15 Oktober 2024 melalui saluran YouTube rasmi UiTM Cawangan Kelantan yang telah dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Nasir Ismail, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Menjalankan Fungsi Rektor, UiTM Cawangan Kelantan. Sebanyak 315 kumpulan penyertaan telah dipertandingkan, merangkumi kategori idea dan produk. Sebanyak 11 institut pengajian tinggi di seluruh Malaysia dan luar negara yang menyertai pertandingan ini. Pemenang bagi pertandingan ini menerima hadiah wang tunai dan sijil pemenang yang terdiri daripada Diamond, Gold, Silver, Bronze, video terbaik dan penyampai terbaik bagi kategori idea. Selain itu, peserta terpilih berpeluang menerbitkan Extended Abstract mereka.

Pertandingan ini diharapkan dapat meningkatkan imej akademik dan penyelidikan inovasi UiTM Cawangan Kelantan dengan menjana produk inovasi yang berkualiti, berimpak tinggi serta memupuk budaya kreatif dalam kalangan pelajar dan pensyarah. Melalui kolaborasi antara UNISSULA dan UNM AW, diharapkan inisiatif ini dapat berlanjutan dan memberikan manfaat yang lebih besar kepada masyarakat dan industri.

Penyedia Laporan:
Puan Nur Haslina Ramli
Pengerusi
3MPIC 2024