MACHANG, 20 Oktober - Program sambutan Hari Kemerdekaan ke-67 diadakan di Sekolah Kebangsaan Bukit Tiu, Machang, melalui kolaborasi dengan Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) UiTM Cawangan Kelantan. Acara ini berlangsung selama tiga hari bermula 27 Ogos 2024, dan kemuncaknya pada 29 Ogos 2024. Melalui program ini, murid-murid dan guru-guru menghasilkan karya doodle art berasaskan bendera Malaysia yang disusun menjadi bulatan berdiameter 28 kaki meter persegi.
Sebanyak 370 orang murid dan 50 orang guru terlibat dalam aktiviti ini, menghasilkan 420 lukisan yang kemudian disusun untuk membentuk bulatan bendera. Aktiviti dimulakan dengan kayuhan basikal oleh staf UiTM dari kampus Machang dan mereka kemudiannya disambut oleh pihak Sekolah Kebangsaan Bukit Tiu yang diketuai oleh Guru Besar iaitu Encik Azlizam Samad sebagai simbolik perasmian.
Selain dari itu, terdapat juga aktiviti lain yang telah dijalankan iaitu pertandingan bilik darjah tercantik, pertandingan mewarna lukisan merdeka, pertandingan sling shot, pertandingan basikal cantik dan payung berhias serta tayangan filem Mat Kilau. Terdapat juga persembahan daripada wakil pelajar bagi menonjolkan bakat seperti syair, pantun dan nyanyian Hari Kemerdekaan. Kolaborasi ini berjaya menyemarakkan semangat kemerdekaan serta mengeratkan hubungan antara sekolah dan UiTM, dengan harapan ia dapat diteruskan pada masa akan datang.
Sambutan hari kemerdekaan hasil kolaborasi Sekolah Kebangsaan Bukit Tiu bersama Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) UiTM Cawangan Kelantan dilihat dapat memberi impak yang besar melalui cetusan idea dan semangat kerjasama antara kedua belah pihak. Program seumpama ini seharusnya diteruskan lagi pada masa akan datang oleh pihak UiTM sebagai usaha memperkembangkan khidmat kepakaran untuk membantu masyarakat sekitar terutama di luar bandar.
Penyedia Laporan
Puan Aneeza Mohd Adnan
Pensyarah Kanan
Jabatan Seni Reka Tekstil
Kolej Pengajian Seni Kreatif
Encik Mohd Bakeri Ab Rahman
Pensyarah Kanan
Jabatan Seni Reka Tekstil
Kolej Pengajian Seni Kreatif