SEMARANG, 14 Julai – Satu seminar antarabangsa anjuran pelajar pascasiswazah (AA701) tahun akhir telah diadakan di Universitas Islam Sultan Agung (UNISSULA). Seminar ini berjaya mengumpulkan seramai 39 orang usahawan kecil dan sederhana di sekitar Semarang yang kebanyakannya terlibat dalam sektor pelancongan dalam bidang makanan desa, pakaian, kraftangan dan penyewaan khemah.
Seminar ini telah dipengerusikan oleh Puan Zhakiah Joban, beliau merupakan usahawan berjaya di Semarang dan juga merupakan pelajar pascasiswazah di UNISSULA. Seminar yang bertemakan ‘Digital Transformation towards SMEs Business Sustainability’ turut melibatkan tiga orang panel dari UiTM yang terdiri dari Dr. Zurina Ismail, pensyarah kanan dari AAGBS, Dr. Azmahani Yaacob@Othman, pensyarah kanan dari Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM Cawangan Kelantan dan Encik Mohd Nasiruddin Nordin@Ghani, pelajar tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan yang juga merupakan seorang pengurus bank di Agrobank Cawangan RTC Kota Bharu. Seminar ini telah dijalankan secara hibrid kerana seorang panel, Dr. Zurina tidak dapat hadir secara bersemuka.
Dr. Zurina menggunakan kepakaran beliau dalam bidang pemasaran membicarakan tentang kepentingan AI dan pengurusan data dalam mengembangkan hasil perniagaan selain penggunaan media sosial sesuai yang boleh digunakan untuk tujuan pemasaran manakala Dr. Azmahani pula membincangkan impak positif ke atas usahawan melalui penggunaan media sosial dan aspek-aspek utama bagaimana transformasi digital boleh menyumbang kepada kemampanan perniagaan mereka. Panel yang ketiga, Encik Nasiruddin berbicara mengenai peluang-peluang dan bentuk-bentuk pembiayaan yang ditawarkan oleh pihak bank dari sekecil-kecil perusahaan hingga ke perusahaan yang bersaiz medium selain berkongsi cerita kejayaan usahawan di Malaysia untuk suntikan semangat kepada para peserta agar terus mengembangkan perusahaan mereka.
Seminar diakhiri dengan sesi soal jawab dari para peserta. Reaksi peserta dalam sesi ini menunjukkan kesungguhan mereka untuk beradaptasi dengan perkembangan teknologi semasa. Peserta juga mengambil peluang untuk beramah mesra dengan panel jemputan dan tetamu lain di samping memberi sampel percuma untuk mempromosikan produk mereka.
Kenangan di UNISSULA memberi satu peluang kerjasama bukan sahaja kepada panel dari segi perkongsian ilmu, tetapi juga kepada usahawan tempatan untuk bertukar pendapat dalam memasarkan produk mereka. Diharapkan program sebegini boleh dijalankan di pelbagai universiti sebagai salah satu cara pihak universiti dan ahli akademik untuk mendekati masyarakat dan membantu mereka melalui Kemahiran, kepakaran dan bakat yang ada. Semoga usaha murni ini mendapat rahmat dan keberkatan dari-Nya.
Penyedia Laporan:
Dr. Azmahani Yaacob@Othman
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan
UiTM Cawangan Kelantan