Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Antara Universitas Islam Sultan Agung (UNISSULA) dan Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan (UiTMCK)

SEMARANG, 14 Julai - Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan (UiTMCK) yang diketuai oleh Ketua Pusat Pengajian, iaitu Dr. Azmahani Yaacob@Othman telah mengetuai delegasi ke Universitas Islam Sultan Agung (UNISSULA), Indonesia, bagi tujuan memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) antara kedua-dua institusi pengajian ini.

Dua MoA telah berjaya ditandatangani iaitu (1) Program Pertukaran Staf dan Pelajar; dan (2) Program Khidmat Masyarakat di Peringkat Antarabangsa.

Pihak UNISSULA yang diwakili oleh Prof. Dr. Heru Sulistyo, S.E., M.Si., iaitu Dekan Fakultas Ekonomi telah menyatakan rasa bangga atas kerjasama yang dijalinkan ini dan berharap kedua-dua MoA ini dapat dijayakan. Manakala, Dr. Azmahani dalam ucapannya juga berharap agar kerjasama erat antara UiTMCK dan UNISSULA ini akan dapat meningkatkan pencapaian yang lebih cemerlang bagi kedua-dua pihak.

Usai menandatangani dokumen MoA, kedua-dua pihak saling bertukar-tukar cenderahati sebagai tanda persahabatan telah terjalin antara keduanya. UiTMCK menyerahkan plak berbentuk wau sebagai simbol permainan tradisional masyarakat Kelantan, manakala UNISSULA membalas dengan plak rasmi yang tertera logo rasmi UNISSULA. Acara ini dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi UNISSULA, 6 orang kakitangan akademik UiTMCK dan 15 orang pelajar yang menjadi saksi penting bagi acara bersejarah ini.

Penyedia Laporan:
Dr. Mariam Setapa
Pengarah Projek
MoA UiTMCK dan UNISSULA
UiTM Cawangan Kelantan