MACHANG, 5 Mei - Program Digitalisasi Jejak Usahawan Perantis 2024 adalah satu program bertujuan untuk melahirkan dan membangunkan Usahawan Digital dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi UiTM yang mempunyai potensi dan minat serta berkeyakinan tinggi. Tambahan lagi, program ini juga dapat memperkukuhkan kemahiran keusahawanan digital dalam kalangan mahasiswa UiTM melalui pertandingan model 'Apprentice', peserta juga bakal diberi latihan, bimbingan, dan penyediaan geran permulaan untuk menghasilkan produk berjenama mereka sendiri.
Program Digitalisasi Jejak Usahawan Perantis 2024 dianjurkan oleh Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) yang telah bekerjasama dengan iMedikel Healthcare (M) Sdn Bhd, Unit Kerjaya dan Kaunseling, Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) BPJIA UiTMCK dengan penglibatan mahasiswa UiTM Cawangan Kelantan sebagai peserta pertandingan. iMedikel Pharma Holding Berhad adalah merupakan satu satunya kilang produk yang mempunyai lesen farmaseutikal di Kelantan. Dengan kata lain, pihak syarikat mempunyai keupayaan untuk membina dan menghasilkan produk farmasi dan ubat di kilang mereka sendiri.
Dalam era digital ini, kemahiran keusahawanan digital amatlah penting. Program seperti ini menyediakan platform untuk mahasiswa UiTM memperoleh kemahiran praktikal dalam keusahawanan digital. Program Digitalisasi Jejak Usahawan Perantis 2024 adalah program yang berskala besar serta mengandungi beberapa program kecil, antaranya: Forum Keusahawanan, Pentauliahan Mentor Usahawan UiTM, Pertandingan Apprentice Usahawan Produk Jenama Sendiri - Pengeluaran Produk Jenama Sendiri.
OBJEKTIF PROGRAM ini diadakan adalah untuk:
3.1. Meningkatkan kesedaran tentang potensi keusahawanan digital di kalangan mahasiswa UiTM.
3.2. Memperkukuhkan kemahiran keusahawanan digital melalui latihan praktikal dan bimbingan oleh pakar industri.
3.3. Menyediakan platform untuk mahasiswa menunjukkan kebolehan keusahawanan digital mereka.
3.4. Pemacu ekonomi tempatan melalui pertumbuhan perniagaan digital di kalangan mahasiswa.
Pada 24 April 2024, telah berlangsungnya program pertama iaitu Forum Digitalisasi Jejak Usahawan Perantis 2024 bertempat di Dewan Profesional UiTM Cawangan Kelantan. Forum ini adalah sesi pengenalan dan pendedahan kepada pelajar tentang dunia Keusahawanan Online dan Usahawan Produk Berjenama Sendiri. Pelajar diberi pendedahan tentang: - Asas Perniagaan Online, - Perjalanan Sebagai Pengasas Produk, - Pembangunan Produk Jenama Sendiri - Latihan dan Bimbingan dari iMedikel. Forum ini membawa 3 orang panel daripada iMedikel yang terdiri daripada Panel 1, Pengasas dan Presiden iMedikel Pharma Holding Berhad sendiri iaitu Tuan Haji Yusmat bin Mamat, Panel 2, Puan Wan Nur Siti Aisyah Wan Hasan (Pengasas dan Pemilik Jenama Shalicious & Laurel B) dan Panel 3, Encik Azman A Aziz (Pengarah Urusan Wealthlife International Plt). Forum ini telah dikendalikan oleh Moderator Forum iaitu Encik Hasanul Firman Md Apandi, Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Kelantan Kampus Kota Bharu. Forum ini telah dihadiri oleh lebih daripada 200 orang mahasiswa dan mahasiswi UiTM Cawangan Kelantan daripada pelbagai bidang pengajian serta para VIP yang terdiri daripada Rektor UiTMCK, Profesor Dr. Haji Abdol Samad bin Nawi, Timbalan Rektor HEP, Timbalan Rektor PJIA dan para tetamu jemputan daripada ICAN, MASMED, Ketua Pusat Pengajian KPSK serta Penyelaras Program daripada Jabatan Seni Reka Grafik, Jabatan Seni Reka Tekstil dan Jabatan Seni Reka Logam Halus.
Rektor UiTMCK, Profesor Dr. Haji Abdol Samad Nawi, telah melaksanakan gimik pelancaran program Digitalisasi Jejak Usahawan Perantis 2024. Pemasyhuran 4 orang Mentor dalam kalangan usahawan yang telah berjaya juga dibuat pada forum tersebut. Mentor-mentor ini akan membimbing peserta yang terpilih untuk menyertai pertandingan ini. Selepas program forum ini selesai, pelajar-pelajar yang berminat akan mengisi borang melalui kod QR yang telah dikongsikan pada sesi akhir forum. Mereka yang mengisi borang penyertaan akan membuat tugasan seperti yang tertera pada borang untuk membolehkan mereka menyertai sesi temuduga bagi pemilihan akhir. Selepas itu, peserta yang terpilih akan mengikuti program ini selama 2 bulan di samping mengikuti pelbagai aktiviti yang telah dirancang demi merealisasikan objektif program. Aktiviti program akan melibatkan modul dan bengkel keusahawanan secara bersemuka dan juga secara online. Pemenang pertandingan bakal memenangi geran bernilai RM 10,000.00 untuk menjadi pembangun produk dan mengeluarkan produk berjenama sendiri. Diharapkan dengan adanya program seperti ini, ianya akan menjadi pemangkin kepada usaha murni untuk melahirkan lebih ramai lagi usahawan-usahawan digital dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi di UiTM.
Penyedia Laporan:
Ts. Rozita Shamsuddin
Pensyarah Kanan
Kolej Pengajian Seni Kreatif
Encik Azhar A Aziz
Pensyarah
Kolej Pengajian Seni Kreatif