Global Outsourcing Talent (GOT) Bootcamp

KOTA BHARU, 2 Mei - Program Global Outsourcing Talent (GOT) Bootcamp anjuran Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) telah berjaya dilaksanakan pada 21 hingga 27 April 2024. Bertempat di Gelanggang Seni dan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan, GOT Bootcamp ini dikendalikan oleh seramai 16 orang jurulatih bertauliah (certified trainer) dari Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yang merupakan penaja utama program. Di samping itu, program ini juga melibatkan seramai 8 orang pensyarah yang bertugas sebagai fasilitator dan dibantu oleh 3 orang staf bagi urusan teknikal.

Seramai 135 orang pelajar Fakulti Pengurusan dan Perniagaan semester 4 dan 5 yang mendaftar kod kursus UBM599 (Digital Workforce) telah menjadi peserta di dalam GOT Bootcamp. Program yang bertujuan untuk memenuhi keperluan penilaian kod kursus UBM599 ini juga telah berjaya menghasilkan pelajar yang berkeyakinan dan bersedia untuk menerima dan melaksanakan tugasan di dalam platform ‘Freelancer.com’ di bawah bimbingan dan tunjuk ajar jurulatih MDEC. Peserta dipecahkan kepada 3 workstream iaitu Creative Media, Social Media dan Linguistic, masing-masing seramai 60, 45 dan 30 orang pelajar.

Selain MDEC, GOT Bootcamp ini mendapat sokongan daripada Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK), Pusat Informasi Pelancongan Kelantan (TIC) dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB). Wakil-wakil daripada 5 rakan strategik ini diraikan bersama para peserta pada Majlis Perasmian Penutup merangkap Majlis Jamuan Aidilfitri 2024 pada hari terakhir bootcamp.

Penyedia Laporan:
Dr. Azyanee binti Luqman
Penyelaras Unit Komunikasi Korporat
UiTMCK Kampus Kota Bharu