Majlis Menandatangani MoU Kerjasama Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di antara Pondok Tahfizul Quran Shah Amin, Universitas Muslim Nusantara Al-Washliyah (UMN AW) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan & Business and Accounting Research

MEDAN, 24 Mac – Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) di antara Pondok Tahfizul Quran Shah Amin, Universitas Muslim Nusantara Al-Washliyah (UMN AW) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan anjuran Fakulti Perakaunan dengan Kerjasama Unit ICAN, BPJIA UiTM Cawangan Kelantan dan UMN AW.

Delegasi daripada UiTM Cawangan Kelantan diketuai oleh YBhg. Profesor Dr. Haji Abdol Samad Nawi (Rektor), Prof. Madya Dr. Mohd. Nasir Ismail (Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Akademik), Dr. Norzieha Mustapha (Timbalan Rektor PJIA), Dr. Noor Marini Haji Abdullah, Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan selaku pencetus kepada keterjalinan MoU di antara kedua-dua organisasi di antara dua negara, Dr. Nazhatul Sahima Mohd Yusoff (Koordinator ICAN), Puan Rabaatul Azira Hasan, pensyarah Fakulti Perakaunan serta pelajar ijazah kedoktoran (perakaunan) dan 6 orang mahasiswa Sarjana Perakaunan, Fakulti Perakaunan, UiTM Cawangan Kelantan.

Kerjasama yang dijalinkan di antara kedua belah pihak meliputi pemindahan ilmu di dalam pelbagai bidang daripada pensyarah dan pelajar daripada UiTM kepada pelajar-pelajar tahfiz di Pondok Tahfizul Quran Shah Amin. Pada masa hadapan, pelajar-pelajar tahfiz ini bakal menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi seperti di universiti. Melalui kerjasama ini, pelajar-pelajar tahfiz dapat mempelajari ilmu-ilmu kontemporari seperti, (1) pengurusan kewangan individu, keluarga dan perusahaan; (2) mempelajari Bahasa Arab, Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin; (3) mempelajari ilmu keusahawanan dan pemasaran digital; dan lain-lain lagi. Pemindahan ilmu ini dijangka dapat memperlengkapkan pelajar-pelajar tahfiz dengan ilmu-ilmu kontemporari yang bakal melahirkan anak-anak tahfiz yang beradab, berilmu dan relevan dengan kehendak dan keperluan industri.

Selain daripada upacara menandatangani MoU CSR di antara UiTM dan Pondok Tahfizul Quran Shah Amin UMN AW, pada hari yang sama iaitu pada 29 Februari 2024 telah berlangsungnya Business and Accounting Research Symposium di antara Fakulti Perakaunan, UiTM Cawangan Kelantan dan Fakultas Ekonomi & Bisnis, Universitas Muslim Nusantara Al-Washliyah (UMN AW). Upacara ini dilaksanakan bagi merealisasikan MoA Accounting Research Symposium and Forum di antara UiTM dan UMN AW yang telah ditandatangani pada 14 Ogos 2023.

Kolaborasi akademik di antara 2 buah negara ini telah memberikan peluang kepada mahasiswa dan pensyarah kedua-dua buah universiti untuk memahami isu-isu semasa di dalam bidang perniagaan, perakaunan dan pengauditan di dalam konteks Malaysia mahupun Indonesia. Terdapat 2 orang pelajar daripada UiTMCK iaitu Muhammad Irsyad Zharfan Shariful Bhari & Nadrah Hana Hamdi dan 2 orang pelajar daripada UMN AW iaitu Clarisa Tarigan & Khadizah Hairani yang telah melakukan pembentangan di dalam simposium tersebut.

Usai pembentangan, panel penilai akan memberi komen dan saranan kepada para pembentang. Panel penilai bagi pelajar UMN AW adalah terdiri daripada pensyarah daripada UiTMCK iaitu Dr. Noor Marini Haji Abdullah dan Puan Rabaatul Azira Hassan. Manakala panel penilai bagi pelajar UiTMCK adalah terdiri daripada pensyarah UMN AW iaitu Tuan Ardhansyah Putra Harahap dan Puan Junita Putri Rajana Harahap.

Pautan Video MoA antara UiTM Cawangan Kelantan dan Universitas Muslim Nusantara Al-Washliyah seperti berikut: UMN NEWS - PONDOK TAHFIDZ QUR’AN SHAH AMIN BINAAN UMN AW JALIN KERJA SAMA DGN UITM CAWANGAN KELANTAN

Penyedia Laporan:
Dr. Noor Marini Haji Abdullah
Pensyarah Kanan
Fakulti Perakaunan
UiTM Cawangan Kelantan