Upacara Menandatangani MoA Accounting Research Symposium and Forum, Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan dan Universitas Sumatera Utara (USU)

MEDAN, 24 Mac – Bagi mengeratkan hubungan kedua-dua institusi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kelantan, Malaysia telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) Accounting Research Symposium and Forum dengan Universitas Sumatera Utara (USU), Indonesia pada 1 Mac 2024 bertempat di Faculty of Economics and Business, USU, Medan, Indonesia. Objektif utama kerjasama ini adalah untuk meningkatkan kualiti penyelidikan, pembelajaran dan pengajaran serta mobiliti pensyarah dan pelajar bagi kedua-dua buah universiti.

Usaha murni ini merupakan inisiatif Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan  dalam usaha mengangkat UiTM sebagai Universiti Terkemuka menjelang tahun 2025.

Semasa sesi ucaptama daripada Rektor USU, iaitu Profesor Dr. Muryanto Amin, beliau menjelaskan kerjasama ini akan membuka ruang penempatan pelajar dan kakitangan pendidikan dari kedua-dua buah negara. Selain itu, kerjasama ini akan menghasilkan pemindahan kepakaran dan meningkatkan peluang penyelidikan serta menghasilkan satu bentuk inovasi yang boleh memberi manfaat kepada warga kedua-dua belah universiti.

Di dalam sesi ucaptama oleh Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Profesor Dr. Haji Abdol Samad Nawi berkata, kerjasama ini adalah satu bentuk pemindahan ilmu dan pembangunan harta intelek serta kepakaran dalam pengkhususan bidang tertentu yang boleh dimanfaatkan oleh semua pihak terlibat.

Usai sesi menandatangani MoA, peserta dan tetamu yang hadir berpeluang mengambil bahagian dalam Guest Lecture yang bertajuk “Audit Committee Overlap, Family Firm, Political Connection and Related Party Transaction: Evidence from an Emerging Market.

Syarahan umum itu disampaikan oleh Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Kelantan, Dr. Noor Marini Haji Abdullah, yang membincangkan tentang pengaruh pertindihan fungsi jawatankuasa audit dan jawatankuasa imbuhan ke atas pengarah syarikat milik awam.

Jelas beliau, khususnya, pertindihan keahlian jawatankuasa audit dan jawatankuasa imbuhan dalam syarikat awam terbukti telah melemahkan peranan jawatankuasa audit dalam menjalankan tugas memantau urus niaga pihak berkaitan yang mempunyai situasi konflik berkepentingan. Perkara ini mungkin berlaku kerana komitmen masa pengarah yang menganggotai jawatankuasa audit dan jawatankuasa imbuhan meningkat apabila pengarah menjalankan dua peranan di dalam kedua-dua jawatankuasa tersebut.

Tambah beliau lagi, jawatankuasa audit perlu memainkan peranan yang penting di dalam usaha memantau dan menyemak urusniaga antara pihak berkaitan dan situasi konflik kepentingan. Walaubagaimanapun, peranan tersebut didapati menjadi kurang efektif berkemungkinan besar disebabkan oleh komitmen tinggi daripada pertindihan jawatankuasa audit dan imbuhan.

Aktiviti pengantarabangsaan ini diteruskan lagi dengan program International Accounting Symposium di antara UiTMCK dan USU. Simposium ini diteruskan dengan pembentangan yang melibatkan dua pelajar Sarjana Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan, Muhamad Afiq Firhan Mohd Amim dan Siti Fatimah Nurjannah Roslan, serta pelajar Doktor Falsafah Perakaunan USU, Ayu Kurnia Sari .

Mereka telah membentangkan kertas penyelidikan masing-masing meliputi aspek pengauditan, penglibatan aspek digital di dalam bidang perakaunan dan pengauditan serta FinTech.

Program ini dihadiri oleh pensyarah  dan pelajar Sarjana dan Doktor Falsafah dari kedua-dua buah universiti dan juga pengamal industri.

Penyedia Laporan:

Dr. Noor Marini Haji-Abdullah
Pensyarah Kanan
Fakulti Perakaunan
UiTM Cawangan Kelantan
 
Afiq Firhan Mohd Amim
Pelajar
Fakulti Perakaunan
UiTM Cawangan Kelantan