MACHANG, 26 Mac - Program Pendidikan Sivik dan Kenegaraan Bersama Belia Negeri Kelantan yang berlangsung pada 1 hingga 2 Mac 2024 di HRDA UiTM Cawangan Kelantan Kampus Machang adalah inisiatif yang disusun dengan kerjasama antara pensyarah UiTM Kelantan dari Special Interest Group (SIG) Civic and Democracy Education UiTM Cawangan Kelantan dan Pertubuhan Gagasan Minda Merdeka (GMM). Tujuan program diadakan adalah untuk mendekati belia negeri Kelantan dan memberi pendedahan tentang Pendidikan Sivik dan Kenegaraan. Para peserta seramai lebih kurang 40 orang rata-ratanya adalah merupakan pelajar Kolej Cosmopoint Kota Bharu, Kelantan.
Program ini merupakan usahasama terbaru dari inisiatif sebelumnya yang dilakukan setelah mempertimbangkan maklum balas peserta program dari acara yang diadakan pada bulan Julai dan September 2023. Penambahan masa pelaksanaan program selama 2 hari 1 malam menjadi salah satu perubahan utama yang dilaksanakan oleh penganjur program.
Tujuan utama program ini adalah untuk menyebarkan pengetahuan tentang pembentukan negara, perlembagaan, dan kedaulatan negara kepada golongan belia negeri Kelantan. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk meningkatkan semangat cinta akan negara dan melahirkan rasa tanggungjawab terhadap masa depan negara kepada generasi muda. Bagi mencapai tujuan ini, pendekatan yang sesuai telah dirancang bersesuaian dengan tahap perkembangan dan umur peserta.
Perlaksanaan Program ini melibatkan beberapa kaedah pengajaran, antaranya latihan dalam kumpulan (LDK), ceramah, dan Modul Pendidikan Sivik dan Kenegaraan. Selama 2 hari 1 malam, peserta terlibat dalam empat sesi latihan dalam kumpulan (LDK) dan satu sesi ceramah mengenai rukun negara dan pilihanraya yang disampaikan oleh pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Kelantan dan juga penolong pegawai pengurus pilihanraya yang juga Penolong Ketua Jajahan, Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli. Aktiviti dalam kumpulan LDK mencakupi beberapa topik penting seperti Rukun Negara, Perlembagaan Malaysia, Kedaulatan Negara, Pembentukan Kerajaan, dan isu-isu semasa.
Dengan menyediakan platform seperti ini, diharapkan program sebegini akan memberikan kesan yang signifikan dalam membentuk pemikiran dan sikap belia negeri Kelantan yang peka terhadap isu-isu kenegaraan dan perlembagaan, serta meningkatkan rasa tanggungjawab dan kecintaan mereka terhadap negara. Ianya juga merupakan wadah yang penting bagi perkembangan dan pemerkasaan generasi muda dalam memahami serta mengamalkan nilai-nilai kebangsaan. Melalui kerjasama pensyarah UiTM Cawangan Kelantan dan Pertubuhan Gagasan Minda Merdeka (GMM), program ini berjaya memberikan pendedahan yang mendalam tentang aspek-aspek penting dalam sivik dan kenegaraan kepada para belia negeri Kelantan.