Karnival Keusahawanan@ESKEP Sempena REIACt Day 2023 UiTM Cawangan Kelantan

MACHANG, 08 November – Malaysian Academy of SME & Entrepreneurship Development (MASMED) UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) yang diterajui oleh Dr. Nurazleena Ismail di bawah Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri & Alumni (BPJIA) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2022/2023 sekali lagi berjaya menganjurkan Karnival Keusahawanan@ESKEP sempena REIACt Day 2023. REIACt Day yang dianjurkan oleh BPJIA pada setiap tahun merupakan acara bagi mengangkat budaya penyelidikan, memberi penghargaan kepada alumni serta menyemarakkan lagi budaya keusahawanan dalam kalangan warga UiTM serta komuniti.

Karnival yang berlangsung selama hampir seminggu bermula 23 Oktober 2023 sehingga 28 Oktober 2023 telah berjaya membuka peluang perniagaan kepada hampir 30 peniaga termasuk trak makanan dari seluruh negeri Kelantan untuk menjalankan aktiviti perniagaan di Medan Ilmu, UiTMCK bermula seawal jam 10:00 pagi hingga 10:00 malam. Produk yang terdapat di karnival termasuk produk makanan, pakaian, telekomunikasi dan rundingan kewangan. Peserta karnival juga terdiri daripada alumni UiTM daripada pelbagai kampus. Ini membuktikan bahawa UiTM berjaya melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik malah mempunyai daya saing dalam bidang keusahawan yang tinggi.

ESKEP pula merupakan Ekspo Kelab dan Persatuan yang dikendalikan oleh pihak MPP. Ekspo ini memberi ruang dan peluang kepada semua kelab dan persatuan di bawah Bahagian Hal Ehwal Pelajar untuk membuat hebahan dan mempromosikan kelab dan persatuan masing-masing bagi merekrut lebih ramai ahli dalam kalangan pelajar. ESKEP juga mengadakan Himpunan Stand with Palestine, Persembahan Seni Mempertahankan Diri, persembahan nyanyian oleh alumni, persembahan kelab dan persatuan, Forum Perdana serta persembahan “Lambaian Palestin” oleh Unit Kebudayaan bagi menunjukkan sokongan tidak berbelah bagi kepada umat Islam di Palestin. Karnival Keusahawan dan ESKEP berakhir dengan persembahan dikir barat oleh artis ternama negeri Kelantan yang mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Majlis perasmian penutupan telah disempurnakan oleh Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi, Rektor UiTM Cawangan Kelantan dalam satu majlis yang sangat meriah.

Sokongan padu oleh pihak pengurusan tertinggi UiTMCK serta kerjasama erat oleh pihak PJIA khususnya MASMED, MPP, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dan Bahagian Pengurusan Fasiliti (BPF) serta komuniti setempat merupakan penyumbang ke arah kejayaan penganjuran Karnival Keusahawanan@EKSEP sempena REIACt Day 2023 UiTMCK pada kali ini. Maklum balas daripada peniaga-peniaga di tapak karnival rata-rata bersifat positif dan berharap agar platform bagi mempromosikan produk mereka lebih banyak dan kerap diadakan pada masa akan datang. Semoga program seperti ini akan terus memberikan impak kepada bukan sahaja warga UiTM malah semua lapisan masyarakat.

Penyedia Laporan:
Puan Rohazlyn Rosly
Pengarah Program
Karnival Keusahawanan@ESKEP